Rasulullah
S.A.W. menangis, hiba hatinya mendengar luahan hati seorang ayah mengenai
anaknya. Lelaki tua itu berkata: “Ketika kecil, tanganku inilah yang memberimu
makan. Engkau kehausan, akulah yang menuangkan. Jika kau sakit, tiada aku tidur
sepanjang malam, sakitmu itu membuatku kerisauan.
Tetapi
kini selepas engkau mencapai tujuan. Kulihat dalam dirimu apa yang tidak
kuharapkan. Kau balas dengan kekerasan dan kekasaran. Seolah-olah nikmat dan
anugerah itu engkau yang berikan.”
Berlinangan
air mata Rasulullah, baginda memanggil anak itu dan bersabda kepadanya: “Kamu
dan semua milikmu, semuanya adalah milik ayahmu.” Hadis riwayat Ibn Majah, Imam
Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan al-Baihaqi dalam
al-Sunan.
Kasih
sayang ayah dan ibu adalah hutang yang tidak pernah dapat dibayar oleh
seseorang anak. Namun ramai anak yang cuba mengungkit setiap pemberian mereka
kepada kedua-dua orang tua. Tindakan sebegitu pasti amat melukakan hati
kedua-duanya. Tidakkah mereka sedar kehidupan yang dikecapi sekarang bermula
daripada setitis air mani ayah dan keredaan seorang ibu menanggung derita dalam
kehamilan. Jika dapat dihitung segala jasa mereka, sungguh dunia dan seisi ini
takkan mampu membayar balik jasa mereka.
Pada
suatu hari, ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah. Ada seorang
lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca yang
sangat panas, peluh mengalir di wajahnya, dia amat keletihan. Orang itu
bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa
yang ia lakukan untukku selama ini?” Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak
walaupun satu nafasnya”.
Bagaimana
dengan berjuta nafas yang dihirup oleh seorang ibu demi bayi di dalam rahimnya?
sentuhannya, dakapan dan titisan air susunya? Sanggupkah kita membayar semua itu?,
berapakah harga setiap suapan hasil titik peluh ayah? Harga didikan adab dan
ilmu yang diajarkan kepada kita sehingga menjadikan kita mulia di mata manusia?
Rasulullah
bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian tiga
perkara dan membenci tiga perkara: Ia mengharamkan derhaka kepada ibumu,
membunuh anak perempuan, tidak mahu memberi tapi suka meminta. Ia membenci tiga
perkara: Banyak bercakap kosong, banyak bertanya,” Hadis riwayat Al-Bukhari dan
Muslim.
Dr A’id
al-Qarni ketika membahaskan mengenai hadis di atas berkata: Perbuatan derhaka
kepada ibu dan ayah adalah seperti memutuskan daripada menziarahi kedua-duanya,
tidak memberikan nafkah kepada mereka sedangkan mereka berhak mendapat nafkah,
menyakiti hati mereka dan tidak memenuhi hak mereka.
Tiada
siapa yang mahu dikatakan dirinya anak derhaka. Tetapi tindakan dan sikap yang
ditunjukkan oleh seseorang anak itu adalah gambaran zahir yang tidak dapat
disembunyikan. Pandangan manusia boleh menilai walaupun sifatnya subjektif.
Apatah lagi pandangan Allah, siapakah yang boleh menyembunyikan aibnya?.
Penderhakaan itu akan membekas di hati ibu bapa dan akan dibawa sampai ke mati.
Tentunya kita tidak sanggup melihat keadaan ini.
Ada
yang berpendapat bahawa semua itu adalah akibat salah ibu bapa mendidik. Tetapi
bukankah manusia bertambah dewasa dan tahu memilih yang benar dan salah?. Untuk
apa akal dan hati yang Allah cipta dan kurniakan jika bukan untuk memujuk ego
supaya tunduk pada ajaran yang hak?
Ada pula
yang berani berkata: “Atas sebab ibu bapa derhaka kepada anak, maka anak pun
membalas!”. Hati jenis apakah yang sanggup membalas kekhilafan ibu bapanya
dengan kejahatan dan dendam?.
Maknanya
jika ibu menampar wajah anak, anak pula berhak membalas tamparan itu ke wajah
ibunya?. Kalau memang ibu bapa itu jahat, apakah mereka akan membiarkan diri
kita hidup dari dulu lagi?. Mereka boleh melepaskan tanggungjawab jika mahu.
Mengapa disebabkan kesalahan yang sedikit, maka kebaikan yang terlalu banyak
dilupakan?
Ibu
bapa kita adalah sumber kekuatan diri kita. Iman tidak sempurna jika kita
mencalarkan kebeningan hati mereka. Di tengah kesibukan dunia yang
menenggelamkan hati dan perasaan anak, ada satu masa anak pasti berasa terseksa
iaitu apabila dia mengingat kembali pelukan dan ciuman kasih ayah ibunya tetapi
tiada peluang baginya untuk memohon ampun kepada kedua-duanya.
Kembalilah
kepada mereka dengan hati yang ikhlas, sebelum segala berakhir dengan kesedihan
dan penyesalan sepanjang hayat. “Kamu dan semua milikmu, semuanya adalah milik
ayah ibumu”! Satu prinsip yang diajar oleh Rasulullah sebagai ingatan bahawa
kebahagiaan anak itu bermula daripada hati ibu bapa yang reda.
No comments:
Post a Comment