KUALA LUMPUR: Bangunan Parlimen merupakan antara
bangunan yang menjadi sasaran 12 suspek kumpulan militan Negara Islam (IS)
dalam rancangan serangan bom yang digagalkan oleh pihak polis baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi berkata, suspek menyasarkan beberapa kawasan termasuk tempat-tempat yang
dianggap sebagai 'kawasan maksiat'.
Kumpulan suspek itu menyasarkan Putrajaya, Dewan
Rakyat dan Dewan Negara kerana tidak mempercayai sistem demokrasi, kata Ahmad
Zahid kepada Dewan Negara.
"Sebaliknya, suspek lebih mempercayai sistem
khalifah Islam," katanya.
Polis menggagalkan serangan keganasan dengan
menahan suspek militan yang disyaki sedang membuat campuran bahan kimia sebagai
bahan letupan.
Menurut polis, bahan letupan tersebut mampu
meletupkan satu kawasan dengan lingkungan sehingga 500 meter.
Suspek didakwa merancang untuk mengadakan serangan
ke lebih lima sasaran termasuk kelab malam dan pusat hiburan.
Ahmad Zahid mendakwa kebanyakan suspek terlibat
dalam kegiatan militan, mendapat pendidikan di sekolah agama, madrasah atau
sekolah pondok.
Tambahnya, mereka yang terlibat tidak mengira
latar belakang, termasuk pensyarah dan pelajar dari institusi pengajian tinggi
swasta.
Beliau berkata, menurut kajian yang dijalankan,
lebih 50 peratus pengikut IS berumur 40 tahun ke bawah, yang juga merupakan
sasaran utama dalam merekrut anggota kumpulan keganasan.
Selain itu, beliau turut memberitahu terdapat tiga
faktor utama yang dapat menarik minat untuk menyertai IS iaitu isu keluarga,
masalah kewangan dan tekanan hidup.
Menurut Ahmad Zahid, kebanyakan daripada 107
suspek yang ditahan berhubung kegiatan militan di negara ini berpunca daripada
masalah keluarga.
No comments:
Post a Comment