KUALA LUMPUR: Setengah tahun berlalu sejak
kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dengan 239 penumpang
di dalamnya.
Seramai 239 orang tersebut merupakan ayah, ibu,
abang, kakak, suami, isteri, kawan dan kepada seseorang dan hanya menyebut nama
mereka sahaja boleh membawa memori yang indah kepada mereka.
Maira Elizabeth Nari (gambar kecil) manakala ayahnya Ketua Pramugara MH370, Andrew Nari |
Walau bagaimanapun, enam bulan sejak kehilangan
MH370, hanya air mata yang berlinangan dan kekecewaan yang dirasai oleh
keluarga penumpang yang ingin mempercayai bahawa orang kesayangan mereka akan
pulang satu hari nanti.
“Beberapa hari lepas, saya berdoa kepada Tuhan
sekiranya ayah saya masih hidup, berilah petunjuk kepada saya melalui mimpi,
dan tiga hari berturut-turut, saya bermimpi tentang ayah saya.”
Inilah kata-kata sayu yang disuarakan Maira
Elizabeth Nari, anak kepada Ketua Pramugara MH370, Andrew Nari, yang memberi
gambaran bahawa walaupun sudah setengah tahun ayahnya tidak pulang, harapan
bahawa ayahnya akan kembali tidak pernah pudar.
Menurut Maira, mimpi itu meningkatkan lagi
harapannya bahawa ayahnya akan kembali dan ia adalah satu petunjuk baginya.
“Mimpi pertama adalah satu `kolaj gambar’ di mana
terdapat satu gambar hutan, satu gambar ayah saya sedang melihat saya dan satu
gambar ayah saya sedang terbaring.
“Mimpi kedua adalah ayah saya pulang untuk
meraikan satu parti barbeku di rumah makcik saya. Parti seperti ini memang satu
kebiasaan dalam keluarga kami. Tetapi dalam mimpi ini, ayah saya mempunyai
rambut panjang.
“Mimpi ketiga adalah sama seperti mimpi kedua,
tetapi ayah saya nampak kurus kering dan tiada rambut,” jelas Maira.
Seperti Maira, ramai lagi keluarga mangsa tragedi
MH370 masih mengharapkan kepulangan orang yang tersayang.
MH370, dengan 239 penumpang yang kebanyakannya
warganegara China, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam selepas berlepas dari
Kuala Lumpur ke Beijing.
Lebih 26 negara terlibat dalam usaha mencari
pesawat Boeing 777 itu melalui udara, laut dan dasar laut. Namun selepas enam
bulan, tiada sebarang petunjuk dapat dikesan.
Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran,
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan bahawa MH370 berakhir
di selatan Lautan Hindi.
Najib membuat pengumuman itu berdasarkan hasil
analisis oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan
Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor
utara dan selatan.
Walaupun terdapat banyak teori konspirasi tentang
kejadian itu antaranya rampasan dan sabotaj, baru-baru ini, pihak Biro
Keselamatan Pengangkutan Australia merumuskan bahawa kemungkinan besar
penumpang pesawat itu meninggal dunia akibat sesak nafas selepas pesawat itu
terbang ke arah Lautan Hindi di selatan secara autopilot.
Sumber - oomedianetwork
No comments:
Post a Comment