Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Cik Khaleeda Bustamam |
JOHOR BAHARU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail
Sultan Ibrahim, 30, bakal menamatkan zaman bujangnya Jumaat ini apabila
melangsungkan pernikahan dengan Cik Khaleeda Bustamam, 21.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk
Abdul Rahim Ramli berkata istiadat pertunangan dan pernikahan baginda dengan
wanita pilihannya itu akan berlangsung di Istana Bukit Serene pukul 10 pagi
pada hari itu.
"Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan
Iskandar akan menghadiahkan tujuh barangan kepada pihak perempuan, manakala
pihak keluarga perempuan pula akan membalasnya dengan sembilan barangan,"
katanya pada sidang media di Bukit Timbalan, di sini, Isnin.
Istiadat pernikahan dikendalikan Mufti Johor Datuk
Tahrir Samsuddin.
Hanya kerabat dan keluarga terdekat kedua-dua
pasangan dijemput menghadiri istiadat pertunangan dan pernikahan itu.
Cik Khaleeda akan dikurniakan gelaran Che Puan,
isteri kepada Tunku Mahkota Johor selepas istiadat pernikahan itu, menurut
Abdul Rahim.
Katanya, istiadat merisik telah pun berlangsung
pada 27 Sept lepas dengan rombongan diraja diketuai Tunku Temenggong Johor
Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor itu juga
mengumumkan istiadat persandingan Tunku Mahkota Johor dengan Cik Khaleeda akan
diadakan di Istana Besar, Johor Baharu pada 7.30 malam, 8 Nov depan.
Istiadat persandingan itu bakal berlangsung secara
sederhana tetapi penuh dengan adat istiadat diraja Johor dan ketenteraan,
dijangka dihadiri oleh kira-kira 1,200 jemputan dari dalam dan luar negara.
Antara tetamu kehormat yang akan menghadiri
istiadat itu termasuk Sultan Brunei, Sultan Pahang, Perdana Menteri dan
Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri Singapura serta barisan exco dan
anggota Dewan Undangan Negeri Johor.
Menurut Abdul Rahim tiada liputan media bagi
istiadat berkenaan.
Tunku Mahkota Johor diputerakan pada 30 Jun 1984
di Johor Baharu dan merupakan putera sulung daripada enam adik-beradik kepada
Sultan Johor dan Raja Zarith Sofia.
Baginda mendapat pendidikan awal persekolahan di
Johor Baharu sebelum melanjutkan pendidikannya di Australian International
School, Singapura pada 1999 dan Hale School di Perth, Australia.
Bermula 17 Julai 2003 hingga 11 Disember 2004,
Tunku Ismail menjalani latihan ketenteraan di India Military College di
Dehradun, India dan ditauliahkan pangkat Leftenan.
Baginda menempa sejarah apabila menjadi rakyat
asing pertama mengetuai Rejimen Berkuda Tentera India memberi tabik hormat
kepada Presiden India, A.P.J Abdul Kalam sempena sambutan Hari Kebangsaan India
ke-58 pada 20 Januari 2007.
Cik Khaleeda dilahirkan pada 16 Julai 1993 di
Kuala Lumpur dan merupakan anak bongsu kepada lima adik-beradik kepada pasangan
Bustamam Daud dan Aziyah Abdul Aziz.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah
Kebangsaan Taman Seri Gombak bermula 2000 hingga 2003, sebelum meneruskan
pendidikan awalnya di Sekolah St. George's Hanover Square, London pada 2003
hingga 2004.
Cik Khaleeda melanjutkan persekolahan menengahnya
di Westminster Academy London pada September 2004 hingga Julai 2008 dan di
Sekolah Sri Utama, Kuala Lumpur sekembalinya ke Malaysia pada 2010. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment