Rasuah
(dalam bahasa Arab disebut risywah) adalah pemberian sesuatu dengan tujuan
membatalkan suatu yang haq atau untuk membenarkan suatu yang batil. (Al-Mausu’ah
Al-Fiqhiyyah)
Dapat
disimpulkan, ia adalah apa saja pemberian kepada seseorang untuk mendapatkan
sesuatu yang bukan haknya atau untuk mengelakkan suatu kerugian yang sepatutnya
terjadi kepadanya.
Hukum
memberi atau menerima rasuah adalah haram, ia merupakan dosa besar kerana
pelakunya dilaknat oleh Allah SWT dan RasulNya SAW. Dari Abdullah bin ‘Amr dia
berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hasan
Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)
Pemberi
dan penerima rasuah berhak mendapat kemurkaan Allah dan dijauhkan dari rahmat
Allah SWT kerana mereka telah melakukan suatu perbuatan yang batil dan
mengambil sesuatu yang bukan hak mereka.
Allah SWT
berfirman di dalam Al-Quran menceritakan tentang orang-orang Yahudi, “Mereka
adalah orang-orang yang Allah sudah tidak berkehendak mensucikan hati mereka,
bagi mereka kehinaan di dunia dan azab yang pedih di Akhirat. Mereka gemar
mendengar berita bohong dan gemar memakan Al-Suht (yang haram).” (Surah
Al-Maidah: 41-42)
Dalam
menafsirkan ayat ini, Umar Al-Khatthab, Ibn Mas’ud ra. dan selainnya mengatakan
yang dimaksud dengan As-Suhtu (suatu yang haram) adalah rasuah. (Al-Jami’
Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi)
Ibnu
Mas’ud ra. mengatakan, “Rasuah bagi menetapkan hukum (bagi pemerintah atau
hakim) adalah kekufuran, adapun bagi masyarakat adalah Al-Suht (haram).” (Al-Tabarani,
Mu’jam Al-Kabir)
Namun
tidak kurang ramai di kalangan masyarakat yang terlibat dengan rasuah yang
kadangkala tanpa mereka sedari, boleh jadi kerana istilahnya telah diubah
kepada hadiah dan sebagainya. Hal ini terjadi baik untuk mendapatkan jawatan
atau pekerjaan, tender, untuk memasukkan anak ke sekolah atau universiti, atau
untuk mencapai tujuan dunia yang lain. Ini adalah kezaliman kerana mengambil
sesuatu yang mungkin sepatutnya adalah hak orang lain.
Hadiah-hadiah
yang kita berikan kepada hakim atau pemerintah, juga termasuk dalam kategori
rasuah yang diharamkan, walaupun ia dilakukan untuk mendapatkan hak kita
kembali. Walaupun terjadi khilaf di mana ada ulama membolehkan memberi
pemberian untuk mendapatkan hak, namun pendapat ini dibantah oleh sebahagian
ulama yang lain.
Ini kerana
jika kita memberi wang kepada hakim kerana kita di pihak yang dizalimi, kita
sebenarnya membantunya dalam kezaliman yang dia lakukan, dan menggalakkannya
untuk mengulangi lagi kezaliman itu pada masa akan datang. Kerana itu dalam
banyak hal yang membabitkan kezaliman pemerintah, Islam banyak menyuruh supaya
kita bersabar.
Ini
merangkumi petugas-petugas yang mewakili pemerintah seperti polis dan
sebagainya, janganlah kita memberi hadiah atau wang kepada mereka untuk
melepaskan diri dari hukuman, atau untuk meringankan hukuman. Walaupun namanya
diubah kepada hadiah, tetapi hakikatnya ia adalah rasuah yang haram dan
mendapat laknat Allah dan RasulNya, maka jangan sesekali kita terlibat di
dalamnya.
Para
hakim, petugas, pemerintah juga jangan menerima sebarang bentuk hadiah, ini
termasuk ghulul yang diancam dengan ancaman yang berat. Sabda Nabi,
“Barangsiapa yang kami tugaskan dengan suatu pekerjaan lalu kami tetapkan gaji
untuknya, maka apa yang dia ambil di luar itu adalah harta ghulul” (Sahih.
Abu Daud). Ini adalah bagi mengelakkan kezaliman, di mana orang
berharta terlepas dari hukum dengan membayar wang, manakala orang yang tidak
berharta tidak bebas dari hukuman.
Takutlah
kita apabila membaca firman Allah, “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta
sebahagian yang lain dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa harta
itu kepada hakim, supaya kamu memakan sebahagian harta benda orang lain dengan
dosa padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 188)
Imam
Al-Qurthubi berkata, “Barangsiapa mengambil harta orang lain bukan dengan cara
yang dibenarkan syariat maka dia telah memakannya dengan cara yang batil. Di
antara bentuk memakan dengan cara batil adalah seorang hakim yang memenangkan
kamu sedangkan kamu tahu bahawa kamu salah. Sesuatu yang haram tidak berubah
menjadi halal dengan keputusan hakim.” (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Qur’an)
No comments:
Post a Comment