Gara-gara tidak menjaga ucapan dan lidah, seseorang itu boleh tergelincir sehingga masuk ke jurang Api Neraka. Dhamdham bin Jaus Al-Yamami berkata, Abu Hurairah ra. berkata kepadaku, “Wahai Yamami, janganlah sekali-kali engkau berkata kepada seseorang, “ALLAH tidak akan mengampunimu atau ALLAH tidak akan memasukkan kamu ke dalam Syurga selama-lamanya.” Aku berkata, “Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya itu adalah perkataan yang sering diucapkan oleh salah seorang dari kami kepada saudaranya atau temannya ketika marah.” Maka Abu Hurairah berkata, “Jangan ucapkan seperti itu, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Dahulu di
kalangan Bani Israil ada dua orang lelaki, seorang rajin beribadah manakala
seorang lagi menzalimi diri sendiri (suka berbuat dosa). Kedua-duanya
bersaudara. Yang rajin beribadah selalu melihat saudaranya melakukan dosa, maka
dia pun berkata, “Berhentilah!” Maka yang melakukan dosa berkata, “Tinggalkan
aku bersama Tuhanku, adakah engkau diutus untuk mengawasiku?” Sehingga satu
hari dia melihat saudaranya melakukan dosa besar maka dia pun berkata, “Celaka
engkau, berhentilah!” Saudaranya berkata, “Tinggalkan aku bersama Tuhanku, adakah
engkau diutuskan untuk mengawasiku?” Dia pun berkata, “Demi ALLAH, ALLAH tidak
akan mengampunimu.” Atau “Demi ALLAH, ALLAH tidak akan memasukkanmu ke dalam
Syurga selamanya.”
Maka ALLAH
mengutus malaikat kepada keduanya untuk mencabut nyawa mereka. Keduanya pun
bertemu pada hari Akhirat. ALLAH berkata kepada lelaki yang berbuat dosa,
“Pergilah dan masuklah ke dalam Syurga dengan rahmatKu.” Dan ALLAH berkata
kepada yang satu lagi, “Adakah engkau telah mengetahui keputusanKu? Adakah
engkau mempunyai kuasa atas apa yang ada di TanganKu? Seretlah dia ke Neraka.”
Abu Hurairah berkata, “Demi Allah yang jiwaku di TanganNya, sungguh dia telah
mengucapkan satu kalimat yang menghancurkan dunia dan akhiratnya.” (Sahih.
Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Sangat tragis
nasib lelaki ini. Dia bukanlah pelaku maksiat, bahkan dia adalah orang yang
kuat beribadah malah dia melakukan amar makruf nahi munkar. Namun gara-gara
ucapan lidahnya dan hukuman yang dia berikan ke atas saudaranya, dia diheret
masuk ke jurang Neraka.
Pada zaman ini,
ramai manusia yang dapat menjaga dirinya dari menjamah makanan yang haram,
menjaga diri dari maksiat seperti zina, minum arak, mencuri dan sebagainya,
namun masih ramai yang gagal dalam menjaga lidah termasuklah orang-orang agama
yang dilihat zuhud dan dikenali sebagai ahli ibadah. Malah barangkali dia
berbicara dengan perkataan yang mengundang kemurkaan ALLAH tanpa dia merasa
bersalah dengan ucapannya itu. Sedangkan dengan satu ucapan sahaja boleh
menghapus seluruh amal kebaikan seseorang dan membuatkan seseorang itu
tersungkur ke dalam Api Neraka.
Rasulullah SAW
bersabda, “Sesungguhnya ada seorang lelaki berkata: “Demi ALLAH, ALLAH tidak
akan mengampuni si Fulan!” Maka ALLAH SWT berfirman: “Siapakah yang bersumpah
mendahuluiKu bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan? Sungguh Aku telah
mengampuninya dan menghapuskan amalmu!” (Riwayat Muslim)
Anggota tubuh
yang paling mudah digerakkan adalah lidah, dan itu jugalah yang paling
membahayakan dirinya. Lidah boleh membawa dua malapetaka kepada diri seseorang;
iaitu malapetaka berbicara dan malapetaka diam. Orang yang mendiamkan kebenaran
adalah Syaitan bisu, derhaka kepada ALLAH dan mencari redha manusia selama mana
berbicara tidak membahayakan keselamatan dirinya, ini adalah malapetaka bagi
dirinya. Manakala orang yang berbicara dengan perkataan yang batil pula adalah
Syaitan yang berkata-kata, ini juga adalah malapetaka bagi dirinya.
Menjaga Lidah Adalah Keselamatan
Seorang Muslim
tidak boleh berkata yang sia-sia. Dia tidak seharusnya berbicara kecuali
perkataan yang benar dan bermanfaat. Sebelum berbicara, dia hendaklah berfikir
adakah perkataan itu benar? Jika benar, adakah ia bermanfaat dan ada faedahnya?
Jika tidak, dia dituntut untuk diam. Adapun jika jelas manfaatnya, hendaklah
dia memeriksa adakah dengan perkataan itu akan luput manfaat yang lebih besar?
Jangan sampai dia menyesal dengan perkataan tersebut.
Para salaf dan
khalaf berbeza pendapat adakah seluruh perkataan yang diucapkan akan dicatat
atau hanya perkataan yang baik dan buruk sahaja? Pendapat yang terkuat adalah
seluruh perkataan yang diucapkan akan dicatat. Orang yang selamat adalah orang
yang hanya menggunakan lidahnya untuk ucapan yang bermanfaat. Oleh kerana itu
Rasulullah SAW pernah menasihati seorang sahabat: “Janganlah engkau berbicara
yang nantinya engkau akan meminta maaf kerananya.” (Sahih Ibnu Majah)
Imam Al-Nawawi
rh. berkata, “Selayaknya setiap mukallaf menahan lidahnya dari semua perkataan,
kecuali perkataan yang jelas maslahat padanya. Jika berbicara atau diam itu
sama mashlahatnya, maka menurut Sunnah adalah menahan diri darinya. Kerana
perkataan mubah (harus) boleh mengheret kepada yang haram atau makruh. Bahkan
ini banyak dan sering terjadi. Sedangkan keselamatan tiada bandingannya. Telah
diriwayatkan kepada kami dalam dua Sahih, Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah
ra., dari Nabi SAW, Baginda bersabda: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan
hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
Hadis yang
disepakati sahihnya ini merupakan nas yang jelas bahawa seharusnya seseorang
tidak berbicara kecuali jika perkataan itu merupakan kebaikan, iaitu yang
nampak maslahatnya. Jika dia ragu-ragu tentang wujudnya maslahat, maka dia tidak
berbicara. Imam Al-Syafi’i berkata, “Jika seseorang hendak berbicara, sebelum
berbicara hendaklah dia berfikir, jika jelas maslahatnya dia berbicara, jika
dia ragu-ragu maka dia tidak berbicara sampai jelas maslahatnya.”” (Al-Adzkar,
Imam Al-Nawawi)
Rasulullah SAW bersabda:
“Termasuk kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan apa-apa yang tidak
bermanfaat baginya.” (Sahih. Riwayat Al-Tirmizi). Rasulullah juga mengingatkan
di akhir wasiat kepada Muaz: “Mahukah aku khabarkan kepadamu kunci semua perkara?”
Muaz menjawab: Tentu, wahai Rasulullah. Baginda pun memegang lidahnya dan
bersabda: “Jagalah ini!” Muaz bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kami akan
dituntut disebabkan apa yang telah kami ucapkan?” Baginda pun bersabda:
“Bukankah manusia tersungkur pada wajah mereka ke dalam Api Neraka disebabkan
ucapan lidah mereka?” (Hasan Sahih. Riwayat Al-Tirmizi).
No comments:
Post a Comment