widgets

Pages

Monday, April 27, 2015

Firman Kesal Kemiskinan Keluarga Dijadikan Jenaka, Hinaan.


PETALING JAYA: Juara program Akademi Fantasia 2014, Firman kesal apabila latar belakang keluarganya dijadikan bahan jenaka dan hinaan pihak tidak bertanggungjawab di laman sosial.

Firman atau nama sebenarnya Mohd Firman Bansir, 26, berkata, tindakan sesetengah pengikut lama sosial mempersendakan keluarganya golongan miskin adalah sama sekali tidak wajar.

"Mengatakan keluarga saya miskin dan mempersoalkan tentang asal usul kami adalah kritikan paling teruk saya terima sejak bergelar anak seni.

"Saya tidak tahu mengapa perlu melibatkan keluarga sekiranya saya ada membuat sebarang kesalahan dan kenapa pula menjadikannya bahan jenaka," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata penyanyi berasal dari Sabah ini, meskipun kecewa namun dia sedar satu-satunya jalan untuk menghentikan perkara itu dengan berusaha keras bagi meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga.

"Saya tidak terfikir untuk ambil tindakan dengan apa mereka katakan kerana ia tidak akan membuatkan saya menjadi lebih baik.

"Saya kena kuat menghadapi cabaran sebagai anak seni dan perlu berusaha mengubah kehidupan saya tambahan pula saya bukan berasal dari keluarga senang," ujarnya.

Dalam pada itu, Firman berkata, sejak bergelar artis dia mula sedar bahawa industri hiburan bukan seperti mana disangkakan sebelum dia bergelar penyanyi.

Jelas Firman, status juara AF 2014 bukan batu loncatan buatnya untuk mudah mengukir nama sebaliknya perlu berusaha keras agar bakatnya menyinar.

"Sebelum ini saya sering anggap kerjaya sebagai penyanyi ini cukup indah selain tetapi realitinya bukan begitu.

"Saya sedar menjadi penyanyi memerlukan saya sentiasa meningkatkan diri agar tidak ketinggalan kerana persaingan cukup hebat," jelasnya.

Sementara itu, Firman berkata, dia sedang dalam proses menyiapkan album sulungnya yang bakal berada di pasaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Kata Firman, pihak pengurusan turut memberikannya kepercayaan untuk menentukan hala tuju album berkenaan selain mencipta sebuah lagu berjudul Kau Yang Satu.


"Album itu nanti akan memuatkan tujuh buah lagu dan ia masih mengekalkan konsep pop rock dan berharap peminat akan menyukainya," katanya.

No comments: