Gambar fail pada 8 Oktober 2010 menunjukkan dua
warga Australia, Andrew Chan (kanan) dan Myuran Sukumaran (tengah) bercakap
dengan peguam mereka dari sel penjara di Mahkamah Daerah Denpasar di Bali,
Indonesia.
|
JAKARTA: Walaupun mendapat tekanan daripada pihak
antarabangsa, Kerajaan Indonesia terus melaksanakan hukuman mati terhadap lapan
banduan termasuk seorang rakyat tempatan kerana kesalahan menyeludup dadah, di
penjara Pulau Nusakambangan dekat Jawa Tengah, awal pagi Rabu.
"Kita telah menjalankan hukuman mati,"
kata seorang pegawai Pejabat Peguam Negara (AGO) kepada pemberita.
Kelapan-lapan mereka merupakan warga Australia,
Andrew Chan dan Myuran Sukumaran; warga Brazil, Rodrigo Gularte; rakyat Nigeria
Sylvester, Obiekwe Nwolise, Raheem Agbaje Salami dan Okwudili Oyatanze serta
Martin Anderson dari Ghana.
Seorang lagi merupakan warga tempatan, Zainal
Abidin.
Sementara itu, seorang warga Filipina, Mary Jane
Fiesta Veloso terselamat daripada dikenakan hukuman mati selepas seorang wanita
yang didakwa merekrutnya untuk membawa masuk dadah tampil menyerahkan diri
kepada pihak polis pada Selasa.
Jurucakap AGO, Tony Spontana berkata, kerajaan
bersetuju dengan permintaan yang dikemukakan oleh dua warga Australia yang
dikenakan hukuman mati supaya jasad mereka dibawa pulang ke Australia untuk
pengebumian.
Seorang anggota Polis Cilacap berkata, selepas
hukuman mati dilaksanakan, upacara sembahyang dilakukan terhadap setiap pesalah
mengikut kepercayaan agama masing-masing.
"Proses hukuman mati berjalan lancar, tanpa
sebarang gangguan," katanya.
AGO menegaskan bahawa hukuman mati itu
dilaksanakan selepas ia mendengar kesemua permintaan terakhir daripada
kelapan-lapan banduan.
Hukuman mati itu merupakan pelaksanaan yang kedua
dijalankan selepas yang pertama pada 18 Januari lalu, melibatkan enam banduan
dari Indonesia, Belanda, Brazil, Nigeria, Vietnam dan Malawi.
Kesemua mereka menjalani hukuman tembak. - Jakarta
Post/Asia News Network
No comments:
Post a Comment