KATHMANDU: Angka korban akibat gempa bumi berukuran
7.9 skala Richter yang melanda Nepal pada Sabtu meningkat kepada 3,218 orang,
manakala 6,538 lagi mengalami pelbagai kecederaan.
Perkembangan terkini itu disampaikan ketua pasukan
pengurusan bencana di kementerian dalam negeri Nepal, Rameshwor Dangal.
"Angka kematian meningkat kepada 3,218 dan
lebih 6,500 cedera," katanya.
Sebelum ini, dilaporkan jumlah korban seramai 2,430,
selain itu ratusan lain dipercayai terbunuh di beberapa negara jiran termasuk India
dan China.
Pasukan penyelamat di Nepal masih meneruskan usaha
mencari mangsa terselamat dalam kejadian dengan menggali sisa runtuhan di ibu
kota Kathmandu.
Rata-rata penduduk masih terkejut dan ketakutan
akibat bencana yang melanda negara Himalaya itu sejak gempa bumi terkuat
melanda Nepal pada 1934.
Tragedi itu juga menyebabkan mereka yang terselamat
terpaksa bermalam di jalanan dan membuat khemah di kawasan terbuka.
Situasi di hospital menjadi sesak sehingga pasukan
perubatan terpaksa membina khemah di luar bangunan bagi merawat pesakit.
Menara Dharahara setinggi lapan tingkat yang menjadi
tarikan utama pelancong dan dibina pada 1832 turut musnah dengan
sekurang-kurangnya 12 mayat berjaya dibawa keluar daripada runtuhan bangunan
bersejarah tersebut.
Kerajaan dari seluruh dunia turut menawarkan bantuan
dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengumumkan akan menghantar pasukan
respons bencana, manakala India akan membawa keluar rakyatnya yang terkandas
menggunakan pesawat tentera.
Khidmat helikopter telah dihantar ke kawasan
pedalaman dan pasukan keselamatan masih mencari mangsa yang mungkin terselamat
di sebalik runtuhan bangunan.
Seorang pegawai berkata, seramai 18 mangsa disahkan
terbunuh di Gunung Everest kerana berlakunya runtuhan salji akibat gempa
tersebut dan menimbus sebahagian kem induk.
Ketua biro agensi berita AFP di Nepal, Ammu
Kannampilly yang terperangkap di kem induk kerana satu tugasan melaporkan, enam
buah helikopter telah berjaya sampai di kawasan itu pagi semalam selepas cuaca
kembali cerah.
“Enam mangsa yang cedera diusung keluar apabila
helikopter mendarat pagi ini (semalam). Cuaca kembali cerah dan bersalji,” kata
Kannampilly melalui mesej teks.
Nepal dan kawasan di Himalaya sangat terdedah
kepada gempa bumi kerana perlanggaran plat India dan Eurasia. Pada 1934 gempa
bumi di Nepal membunuh lebih 10,700 orang. – AFP
No comments:
Post a Comment