Anuar Zain |
KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain mendedahkan pernah
ditipu penganjur konsert lebih daripada sepuluh kali sepanjang dia bergelar
penyanyi.
Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 45,
berkata, kebanyakan penganjur meminta bayaran rendah daripada dia kononnya mahu
membuat majlis amal, namun sebaliknya mereka menjual tiket untuk mengaut
keuntungan lebih.
"Memang dari dahulu lagi ada
penganjur-penganjur acara yang suka membuat kerja-kerja penipuan ini.
"Bayangkan saya yang masih lagi kanak-kanak
sebelum ini pun ada orang yang cuba mengambil kesempatan.
"Kononnya mahu membuat majlis amal dan mereka
meminta saya untuk meletakkan harga yang rendah. Tetapi sebenarnya mereka
tipu," katanya kepada mStar Online.
Anuar ditemui pada sidang akhbar majlis amal makan
malamnya di Zebra Square di sini pada Isnin.
Majlis amal itu akan berlangsung pada 25 Julai
depan.
Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Mungkin
ini, dia bersyukur kerana pengurusan peka dengan penganjur yang tidak
bertanggungjawab selain peminat yang sentiasa mengambil tahu tentang setiap
penganjuran persembahan diadakannya.
Sementara itu, mengenai majlis makan malam amalnya
Anuar berkata, ia diadakan bagi mengumpul dana yang sebanyak RM100,000 untuk
kegunaan pelajar pasukan Electro, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah
Alam dekat sini yang memerlukan wang untuk menyertai pertandingan F1 In Schools
Technology Challenge pada September depan di Singapura.
"Apabila melihat kepintaran mereka dalam
bidang kejuruteraan pada usia muda, hati saya terus berkata mereka ini adalah
masa depan negara dan kita mesti membantu apa-apa yang patut.
"Kerana itu juga saya meletakkan harga
minimum (untuk bayaran pemuzik) agar dapat mengumpulkan dana dengan lebih
mudah," ujarnya.
Tiket berharga RM885, RM685, RM485 dan RM285 boleh
dibeli menerusi laman web www.ticketcharge.com.my atau dengan menghubungi
talian 03-92228811 dan 019-2414090 Mat Nor).
No comments:
Post a Comment