KUALA LUMPUR 14 Julai - Aman Palestin Berhad (Aman
Palestin) akan menghantar misi kecemasan ke Gaza Jumaat ini terdiri daripada
lima pakar perubatan iaitu dua pakar bedah ortopedik, dua pakar bius dan
seorang pakar neurologi.
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang
Suffian Awang Piut berkata, misi tersebut akan turut membawa bekalan
ubat-ubatan dan wang tunai sumbangan rakyat Malaysia bagi membeli segala
keperluan untuk rakyat Palestin.
Katanya, sebelum ini, Aman Palestin telah
menghantar sumbangan sebanyak RM1.3 juta ke Palestin yang dibelanjakan bagi
membeli makanan untuk sahur dan berbuka puasa kepada penduduknya.
"Rombongan tersebut diketuai Dr. Mohamad Nor
Sundari dari Pusat Perubatan Pantai, Dr Zairul Nizam Zainol Fitri dari Hospital
Pakar Senawang dan Dr Mafeitzal Mamat dari Fakulti Perubatan Universiti
Teknologi Mara (UiTM).
"Turut menyertai rombongan itu adalah Dr.
Hasbe Zuraina Abu Bakar dari Hospital Columbia Setapak dan Dr. Kamarul Al-Haq
Abd. Ghani dari Hospital Serdang," katanya dalam sidang akhbar selepas
majlis Iftar Amal 2014 di sini semalam.
Menurut Awang Suffian, pihaknya akan berurusan
dengan kerajaan Mesir untuk memastikan misi berkenaan sampai ke Gaza melalui
pintu Rafah.
Sementara itu, dalam sidang video bersama Pengurus
Aman Palestin di Gaza, Sayyem Omar, beliau memaklumkan, keadaan di situ semakin
genting apabila tentera rejim Zionis bukan sahaja menyerang rakyat Palestin,
malah para pengamal perubatan dan wartawan dari luar negara turut menjadi
sasaran mereka.
Menurut beliau, seorang doktor yang sedang
bertugas di dalam van ambulans terbunuh manakala seorang wartawan yang
melakukan liputan di kawasan berhampiran turut terkorban akibat dibom.
Katanya, paling menyayat hati apabila 18 orang
dalam sebuah keluarga termasuk enam wanita terbunuh hari ini ketika keluar dari
sebuah masjid.
"Setakat ini (pukul sembilan malam waktu
Malaysia semalam) sebanyak 176 telah terbunuh manakala 1,500 yang lain
mengalami kecederaan kerana dibom oleh tentera Israel.
"Di mana-mana sahaja tidak selamat sekarang.
Bom datang dari semua arah dan apa-apa sahaja pergerakan di darat akan
dibom," jelasnya.
Sumber - Utusan Online
No comments:
Post a Comment