Kumpulan di sebalik serangan
militan dan pengebom berani mati di Syria menarik minat lebih ramai pejuang
asing termasuk rakyat Malaysia yang menggelarkan diri mereka sebagai 'pejuang
jihad bebas'.
"Kami bergerak sendirian. Kami hidup
sendirian. Kami memperoleh senjata sendiri. Kami tidak terlibat dengan
mana-mana kumpulan," kata Ahmad Salman Abdul Rahim, 38, yang sebelum ini
terlibat dalam perniagaan pembuatan filem dan pernah melanjutkan pelajaran di
London dari 1997-2008 sebelum menjadi seorang pejuang jihad.
Walaupun terdapat laporan yang mengaitkan militan
warga Malaysia mempunyai kaitan dengan kumpulan tertentu seperti al-Qaeda dan
kumpulan Militan Negara Iraq dan Jajahannya (Isil), dia menegaskan bahawa
mereka berjuang secara bebas.
Ahmad Salman. |
Ahmad Salman menganggap dirinya sebagai seorang
'pejuang jihad bebas, dan mendakwa dia tidak mempunyai hubungan dengan
mana-mana jaringan pengganas di Malaysia atau di luar negara.
"Saya tidak begitu kenal dengan Isil atau
kumpulan mujahiddeen lain. Saya tidak ingin terlibat dalam perjuangan mereka.
Saya tahu kaedah perjuangan mereka adakalanya agak melampau dan saya tidak
bersetuju dengan mereka," katanya ketika ditemubual melalui Facebook.
Ahmad Salman, bersama dengan Mohammad Fadhlan
Shahidi, 21, dan bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Lotfi Ariffin,
45, adalah sebahagian daripada pejuang jihad dari Malaysia yang berjuang di
luar negara.
Sebelum ini Lotfi memberitahu bahawa dia bukanlah
sebahagian daripada rangkaian Isil namun berkata berada di Syria semata-mata
untuk berjuang "di jalan Allah" dan bukan untuk kepentingan mana-mana
pihak.
Kedua-dua mereka merupakan pengguna aktif Facebook
dan sentiasa mengemaskini aktiviti-aktiviti mereka di laman sosial itu.
Posting mereka mendapat perhatain ramai rakyat
Malaysia yang berkongsi idea yang sama.
Ditanya bagaimana rakyat Malaysia di sana
menghadapi bulan Ramadan, Ahmad Salman berkata mereka tidak merasa penat
walaupun terpaksa berperang.
"Syukurlah, kita tidak berasa letih atau
dahaga walaupun berpuasa 16 jam sehari di bawah suhu sehingga 40°C,"
katanya.
Ahmad Salman, yang dilahirkan di Parit Buntar
adalah salah salah seorang daripada anggaran seramai 100 pejuang jihad Malaysia
di Syria.
Ahmad Salman percaya dia 'menjawab panggilan dari
Allah' untuk mempertahankan Islam terhadap kekejaman yang dilakukan oleh
musuh-musuhnya.
Ahmad Salman sedang bersiap sedia untuk berjuang di Syria. |
Menurutnya, mereka tidak berniat untuk mengganas
atau membunuh orang yang tidak bersalah tetapi berada di sana semata-mata untuk
mempertahankan saudara sesama Islam yang sedang ditindas oleh angkatan tentera
Presiden Syria, Bashar Assad.
"Niat saya adalah untuk mempertahankan
saudara Muslim yang sedang diseksa, dirogol dan disembelih. Saya bukan di sini
untuk mengganas dan membunuh tetapi untuk melindungi agama saya terhadap
kecaman secara berleluasa dari musuh," katanya.
Katanya jalan yang dipilih itu membawanya lebih
dekat kepada Tuhan.
"Kehidupan saya di sini (di Syria) adalah
luar biasa. Saya berasa lebih dekat dengan Allah. Apabila kembali ke Malaysia,
saya mudah terpengaruh untuk melakukan dosa, mengabaikan solat dan tidak
membaca Al-Quran," katanya.
Ahmad Salman berkata dia sebelum ini pernah
mengembara ke Myanmar untuk membantu umamt Islam Rohingya.
Dia juga pernah cuba memasuki Palestin namun
mendapati sukar untuk melepasi sempadan Lubnan.
"Saya mengembara ke 11 buah negara Islam yang
lain sebelum sampai ke Syria.
"Akhirnya saya ditakdirkan untuk berada di
Syria. Kebanyakan kumpulan mujahiddeen juga berpangkalan di sini,"
katanya.
No comments:
Post a Comment