Gambar hiasan |
Para Ulama selalu menekankan perihal adab dalam
menuntut ilmu. Kerana yang menjadikan ilmu itu bermanfaat dan berkat adalah
apabila disertai dengan adab daripada para penuntut ilmu.
Saya suka mengungkapkan perkataan Al-Imam
Al-Muhaddis Abdullah bin Al-Mubarak rahimahullah, seorang tokoh ulama salaf,
seorang tabi’ tabi’in yang hidup sebelum zaman Imam Al-Syafi’i rahimahullah.
Beliau mengatakan bahawa adab menuntut ilmu ada enam;
Pertama: Ikhlas.
Kedua: Mendengar dengan baik.
Ketiga: Faham.
Keempat: Menulis.
Kelima: Beramal dengan ilmu tersebut.
Keenam: Mengajarkan ilmu tersebut kepada orang
lain.
SUKARNYA
MENJAGA KEIKHLASAN
Berapa ramai manusia pada hari ini menghadiri
majlis-majlis ilmu, mempelajari ilmu agama dalam keadaan tidak ikhlas. Sama ada
sekadar ingin mengisi masa lapang, atau ingin mencari kesilapan dan kesalahan
orang, atau bertujuan mendapat ganjaran-ganjaran tertentu, anugerah tertentu,
ingin dilihat dan disanjung oleh sebahagian manusia, dan sebagainya.
Allah SWT dan Rasulullah SAW memurkai ibadah tanpa
disertai dengan ikhlas. Ikhlas adalah perintah Allah SWT. Menuntut ilmu agama
merupakan fardu ain yakni wajib ke atas setiap individu Muslim. Nabi SAW
bersabda, “Menuntut ilmu (agama) itu wajib atas setiap Muslim.” (Sahih. Riwayat
Ibnu Majah)
Apabila arahan ini datang daripada Nabi SAW, maka
melakukannya merupakan ibadat, dan setiap ibadat mestilah terbina di atas
keikhlasan. Sekiranya kita sekadar menuntut ilmu untuk mengisi masa lapang,
kita tidak mendapat sebarang ganjaran. Menuntut ilmu adalah ibadah, dan setiap
ibadah terbina dengan keikhlasan dan mengikuti Nabi SAW.
Firman ALLAH SWT, “Tidaklah kalian diperintah
untuk beribadat kepada Allah melainkan dengan ikhlas.” (Surah Al-Bayyinah: 5)
Nabi SAW menceritakan tentang ikhlas dalam hadis
yang masyhur, “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan setiap
manusia itu bergantung pada apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrah
kerana Allah dan Rasul maka hijrahnya kerana Allah dan Rasul, barangsiapa yang
hijrahnya kerana dunianya atau wanita yang ingin dinikahi, maka hijrahnya
adalah apa yang dia niatkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Imam Al-Syafi’i apabila melihat hadis ini beliau
berkata, “Hadis ini termasuk dalam 70 cabang daripada cabang-cabang ilmu.”
Hadis ini cukup besar pengertiannya bagi
orang-orang yang memahami tentang keikhlasan. Imam Al-Bukhari meletakkan hadis
ini sebagai hadis yang pertama. Imam Al-Nawawi dalam kitab Riyadhus Solihin
meletakkan hadis ini sebagai hadis yang pertama. Dalam kitab Al-Azkaar beliau
meletakkan hadis ini sebagai hadis yang pertama. Dalam kitab Hadis 40, beliau
meletakkan hadis ini sebagai hadis yang pertama. Ini menunjukkan betapa
ulama-ulama dulu apabila hendak menulis, mereka mengingatkan diri mereka
tentang keikhlasan, tentang niat.
Ini juga menunjukkan betapa niat yang ikhlas itu
mesti wujud di dalam setiap amal ibadah yang hendak dikerjakan. Oleh itu kita
perlu pandang serius perihal niat. Kerana niat manusia mendapat ganjaran
pahala, kerana niat manusia mendapat dosa.
Imam Muslim meriwayatkan hadis menceritakan
tentang tiga golongan manusia yang mana di dunia mereka dimuliakan oleh
masyarakat.
Golongan yang pertama adalah seorang yang telah
gugur di medan perang. Dia dipanggil dan ditunjukkan kepadanya nikmat yang
telah diberikan kepadanya, dan ditanya kepadanya apakah yang telah dia lakukan
dengan nikmat itu. Maka dia mengatakan bahawa, ‘Ya Allah, sungguh aku telah
berjuang di jalanMu sehingga aku gugur di medan perang’. Lalu Allah mengatakan,
‘Engkau telah berdusta. Sebaliknya engkau berjuang supaya dikatakan sebagai
seorang yang berani, dan engkau telah diperkatakan sedemikian’. Maka dia
diseret dengan mukanya, lalu dihumban dalam api Neraka.
Golongan kedua pula adalah orang yang telah
menuntut ilmu, mengajarnya dan membaca Al-Quran. Dia dipanggil, lalu
diperlihatkan kepadanya nikmat yang telah diberi kepadanya, lalu dia ditanya
tentangnya. Dia mengatakan, ‘Sungguh aku telah menuntut ilmu dan mengajarnya
untukMu Wahai Allah, dan aku telah membaca Al-Quran untukMu wahai Allah.’ Lalu
dikatakan kepadanya, ‘Engkau berdusta. Engkau menuntut ilmu supaya engkau
dikatakan sebagai alim, dan engkau membaca Al-Quran supaya engkau dikatakan
sebagai qari’, dan engkau telah pun dikatakan begitu oleh manusia.’ Maka dia
pun diseret dengan wajahnya di tanah dan dihumban dalam api Neraka.
Golongan ketiga adalah orang yang telah
diperluaskan kepadanya oleh Allah dengan diberikan segala bentuk harta
kepadanya. Mereka diseru dan diperlihatkan nikmat yang telah diberikan, dan
ditanya apa yang telah dilakukan dengan nikmat itu. Mereka menjawab, ‘Sungguh
tidaklah jalan untuk aku berinfaq keranaMu wahai Allah, melainkan aku telah
infaq pada jalan itu.’ Allah mengatakan, ‘Engkau berdusta. Engkau telah infaq
hanya untuk dikatakan oleh manusia sebagai orang yang pemurah, dan engkau telah
pun dikatakan begitu oleh manusia.’ Lalu dia diheret dengan wajahnya dan
dihumban ke dalam api Neraka. (Riwayat Muslim)
Subhanallah. Di dunia jutaan manusia
mengangkatnya. Di dunia, jutaan manusia memuji dan memujanya, tetapi di Akhirat
dia tergolong di kalangan ahli neraka. Semuanya kerana niat. Kerana itu setiap
ibadah yang kita lakukan perlu bermula dengan niat yang benar.
Seorang salaf, Yahya bin Kathir rahimahullah
berkata, “Hendaklah kalian semua belajar tentang niat, kerana mempelajari
tentang niat ini lebih berkesan daripada terus menerus mempelajari tentang
amalan.”
Kerana itu para ulama seringkali mengingatkan kita
tentang kepentingan niat. Cukup cantik kiasan yang dibuat oleh Al-Imam Ibnu
Al-Qayyim rahimahullah di mana beliau berkata, “Sesungguhnya suatu amalan tanpa
keikhlasan dan tanpa mencontohi Nabi SAW adalah seperti seorang musafir yang
memenuhi begnya dengan pasir. Memberatkannya tetapi tidak bermanfaat baginya.”
Ini gambaran bagi manusia yang tidak ada
keikhlasan dalam melakukan amal, dan juga manusia yang beramal tetapi tidak
mencontohi Nabi SAW. Setiap amalannya di atas muka bumi sia-sia belaka. Dengan
itu saya tekankan sekali lagi bahawa niat merupakan perkara serius yang wajib
kita ingat mengingatkan sesama Muslim, khususnya dalam perlaksanaan apa jua
ibadat.
Menuntut ilmu adalah ibadat, maka berkewajipan
bagi kita memulakan semangat menuntut ilmu dengan niat yang ikhlas hanya
semata-mata inginkan keredaan Allah SWT.
PETANDA
IKHLAS DALAM MENUNTUT ILMU
Keikhlasan dalam menuntut ilmu akan memberi kesan
kepada seseorang. Salah satu tanda ikhlas dalam menuntut ilmu adalah ilmu
tersebut akan bermanfaat bagi diri dan bermanfaat pula bagi orang di
sekitarnya. Sabda Nabi dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim,
“Perumpamaan hidayah yang aku diutus oleh Allah
dengannya dan ilmu adalah bagaikan air hujan yang turun membasahi bumi; ada
bahagian tanah yang subur yang menyerap air maka ia menumbuhkan rumput dan
tumbuhan yang banyak.
Ada tanah gersang yang menampung air kemudian
Allah menjadikannya manfaat bagi manusia. Maka mereka minum darinya, memberi
minum haiwan ternak dan menanam. Dan ada pula tanah lain yang tandus gersang,
ia tidak menyimpan air dan tidak pula bisa menumbuhkan tumbuhan.
Itulah perumpamaan orang yang memahami agama Allah
lalu dia mengambil manfaat dari apa yang aku diutus Allah dengannya, maka dia belajar
dan mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak menghiraukannya, dan tidak
mahu menerima hidayah Allah yang aku diutus dengannya.” (Muttafaqun ‘alaih)
Orang yang ikhlas sedar bahawa ilmu yang dicari
adalah untuk diamalkan. Ilmu dicari sebagai bekal untuk memperbaiki ibadatnya
kepada Allah, tidak terhenti setakat menambahkan ilmu semata-mata. Manakala
orang yang niatnya rosak, dia tidak menjadikan beramal dengan ilmu sebagai
matlamat dia mencari ilmu tersebut.
Seorang yang ikhlas dalam menuntut ilmu juga akan
menjadi bertambah takut kepada Allah, mempunyai takwa dalam dirinya sehingga
melaksanakan segala tuntutan agama dalam kehidupan seharian serta menjauhi
perkara-perkara yang dilarang. Ini sebagaimana firman Allah, “Sesungguhnya yang
yang takut kepada Allah di antara hambaNya hanyalah orang yang berilmu” (Surah
Fathir: 28)
Sumber - Dr.
Fathul Bari Mat Jahya
No comments:
Post a Comment