Pasukan keselamatan diberi kuasa menembak penceroboh perairan negara |
KANGAR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi berkata pasukan keselamatan diberi kuasa untuk menembak mana-mana
pihak yang didapati menceroboh perairan negara.
"Kerajaan tiada sebarang masalah jika itu
(menembak) boleh halang penceroboh daripada memasuki Malaysia," katanya
kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Panglima Tentera
Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang meminta kerajaan membenarkan
pasukan keselamatan menembak mana-mana pihak atau kumpulan yang menceroboh
perairan Sabah.
Kenyataan Abdul Aziz itu menyusuli kejadian
serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata berat di Pulau Mabul,
Semporna pada Sabtu lepas yang mengorbankan seorang anggota polis marin
manakala seorang lagi dilarikan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata penceroboh
menghubungi pihak berkuasa pagi tadi untuk memaklumkan anggota polis yang diculik
itu dalam keadaan selamat, namun soal wang tebusan tidak disebut.
Mengenai pandangan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak agar sistem kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur
(Esscom) diteliti semula, Ahmad Zahid berkata beberapa perubahan akan
diperkenalkan apabila operasi Esscom diambil alih oleh Polis Diraja Malaysia.
"Kita juga harus lebih proaktif, tidak boleh
tunggu mereka menyerang baru nak ambil tindakan. Perubahan baru ini termasuk
kaedah pengendalian dan pengawasan yang lebih tegas," katanya.
Ahmad Zahid berkata semua pasukan keselamatan di
perairan timur Sabah juga sudah diarahkan agar lebih berwaspada.
"Kerajaan juga berharap nelayan, pemilik bot
dan penduduk di perkampungan air bekerjasama dengan pihak berkuasa. Penceroboh
tidak ada hasrat menghormati atau patuh undang-undang kita dan sebab itu kita
tidak boleh bertolak ansur soal keselamatan negara dengan kumpulan ini,"
katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan takziah
kepada keluarga dua anggota polis terbabit.
Dalam kejadian 11.10 malam itu, Koperal Ab Rajah
Jamuan, 32, terkorban dan rakan setugasnya Konstabel Zakia Aliep, 26, diculik.
Sumber - mStar Online
No comments:
Post a Comment