widgets

Pages

Tuesday, July 15, 2014

Kewajipan Menggunakan Sutrah Ketika Solat


Betapa penting kedudukan ibadah solat di dalam Islam. Orang yang melaksanakan solat dengan sebaik-baiknya akan memperoleh pahala yang besar, keutamaan dan kemuliaan. Ganjaran pahala dari ibadah solat berbeza-beza bergantung pada kadar dekat atau jauhnya seseorang daripada cara pelaksanaan solat Nabi SAW.

Ini sebagaimana sabda Nabi SAW, “Solatlah kalian seperti mana kalian melihat aku solat.” (Sahih. Bukhari dan Ahmad).

Juga sabda Baginda SAW di dalam hadis yang lain, “Sesungguhnya seorang hamba mengerjakan solat yang diwajibkan kepadanya, ada yang hanya mendapat ganjaran satu per sepuluhnya, ada yang mendapat satu persembilannya, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga, juga ada yang mendapat ganjaran setengahnya.” (Sahih. Abu Daud)

Kita tidak mungkin dapat melaksanakan ibadah solat dengan benar kecuali kita mempelajari tatacara ibadah solat Nabi secara terperinci berdasarkan himpunan hadis-hadis sahih. Dengan demikian kita berharap moga-moga solat kita dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar serta memperoleh ganjaran pahala daripada solat itu.

PERINTAH NABI AGAR SOLAT MENGHADAP SUTRAH

Sabda Nabi SAW, “Janganlah engkau solat kecuali menghadap sutrah.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda, “Jika seseorang dari kalian melakukan solat menghadap sutrah, maka hendaklah dia dekat kepadanya, jangan sampai syaitan membatalkan solatnya.” (Sahih. Abu Dawud)

Sutrah adalah benda yang dijadikan penghadang atau penghalang seperti tembok, tiang, kerusi, dinding atau sebagainya di hadapan orang yang hendak solat. Seseorang mesti memastikan adanya penghadang di hadapan apabila dia berdiri untuk solat. Ada beberapa perkara penting yang dibicarakan tentang sutrah. Di antaranya;

1. Jarak antara sutrah dan tempat sujud lebih kurang cukup untuk dilalui oleh seekor anak kambing.

Maknanya jarak orang yang solat dengan sutrah adalah dekat. Ini disebutkan di dalam hadis dari Sahl bin Sa’ad Al-Sa’idi radhiallahu’anhu, dia berkata: “Jarak antara tempat sujud Rasulullah SAW dengan dinding kira-kira cukup untuk dilewati seekor anak kambing.” (Bukhari dan Muslim).

Imam Al-Baghawi rhm. mengatakan bahawa para ulama berpendapat sunnahnya berdiri menghampiri sutrah, di mana jarak antara dia dengan sutrah seukuran dia boleh melakukan sujud. Begitu juga jarak di antara dua saff. Dan telah disebutkan hadis tentang perintah untuk mendekat ke arah sutrah. Lalu beliau membawakan hadis di mana Nabi SAW bersabda,

“Janganlah engkau solat tanpa memasang sutrah. Dan janganlah engkau membiarkan seseorang melintas di hadapanmu (ketika solat). Jika dia melintas maka cegahlah, kerana sesungguhnya bersamanya ada syaitan.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Baginda SAW juga bersabda, “Apabila salah seorang di antara kalian solat dengan memasang sutrah di depannya, hendaklah dia mendekat ke arahnya, sehingga syaitan tidak dapat memutuskan solatnya.” (Sahih. Riwayat Abu Daud)

Yang dimaksudkan dengan ‘sehingga syaitan tidak dapat memutuskan solatnya’ adalah agar syaitan tidak berkesempatan singgah dan hadir dalam solatnya dan menanamkan perasaan waswas serta mempengaruhi solatnya. Dapat diambil faedah bahawa sutrah akan menghalang pengaruh syaitan terhadap seseorang yang sedang solat.

2. Sutrah bukan diukur dari sudut lebarnya, tetapi dari sudut tinggi.

Ini berdalilkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, “Apabila Baginda solat di padang pasir dan tidak ada suatu pun yang boleh dijadikan sutrah, Baginda memacakkan tombak di hadapannya. Lalu Baginda solat menghadap tombak tersebut dan para sahabat bermakmum di belakang Baginda.”

Apabila Nabi pacakkan satu tombak, ini menunjukkan bahawa sutrah adalah benda yang tinggi, tidak disyaratkan lebar dan besar. Adapun hadis di mana Nabi menggariskan satu garisan dan menjadikannya sutrah, sehingga kebanyakan masjid membuat garisan antaranya untuk dijadikan sutrah, namun sebenarnya hadis itu adalah hadis dha’if jiddan (hadis yang lemah bersangatan dan tidak boleh diterima). Hal ini dibahaskan oleh Imam Al-Syaukani di dalam Nailul Authar, juga Ibnu Hajar Al-Atsqalani di dalam Bulughul Maram.

Adapun dari sudut ketinggian; tinggi sutrah hendaklah setinggi pelana unta, iaitu melebihi sehasta. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW, “Apabila salah seorang kalian (ketika hendak solat) telah meletakkan sutrah di depannya setinggi pelana tunggangan maka solatlah, dan dia tidak perlu menghiraukan siapa pun yang melintas di belakangnya.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tombak dapat kita fahami bahawa saiz sutrah diukur berdasarkan ketinggian. Kalau kita gunakan tembok tinggi sejengkal, itu tidak dinamakan sutrah.

3. Sutrah boleh terdiri daripada banyak benda.

Manusia juga boleh menjadi sutrah kalau dia duduk diam. Selain dari itu benda-benda seperti beg, kerusi, dinding dan hal-hal yang seumpama dengannya boleh dijadikan sutrah selama mana memenuhi syarat ketinggian. Bagaimanapun, Nabi paling suka menjadikan dinding sebagai sutrah. Harus diingat bahawa sutrah mesti ada di hadapan orang yang solat.

KELEBIHAN MENGGUNAKAN SUTRAH

1. Ia adalah sunnah dan perintah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

2. Sutrah memastikan ruang dan tempat untuk kita solat, supaya tidak diganggu oleh orang lain. Ada hadis larangan lalu di depan orang yang solat, di mana Nabi SAW bersabda, “Seandainya orang yang lalu di depan orang yang solat mengetahui besarnya dosa yang ditanggungnya, nescaya ia akan memilih berhenti selama 40, itu lebih baik baginya dari lalu di depan orang yang shalat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud 40 itu tidak dijelaskan di dalam hadis. Perawi hadis ini tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan adalah 40 hari, 40 bulan, atau 40 tahun. Dalam musnad Al-Bazzar mengatakan 40 tahun. Imam Al-Syaukani di dalam Nailul Authar membahaskan bahawa yang diertikan dengan 40 itu menggambarkan betapa besarnya dosa. Ini menunjukkan bahawa perintah menggunakan sutrah ini bukan perkara main-main atau suka-suka.

APABILA SUTRAH BERALIH

Apabila seseorang itu solat dengan menghadap sutrah, dan kemudian sutrahnya lari. Contohnya dia solat di belakang orang dan orang itu kemudian bangkit dan pergi ke tempat lain. Kalau jarak orang yang solat dengan dinding di depannya dekat, dia boleh berjalan ke depan mendekati dinding di depan.

Dalilnya adalah hadis sahih riwayat Al-Hakim di mana pernah ada seekor anak kambing hendak lalu di hadapan Nabi ketika Nabi sedang solat, Baginda merapatkan dada dan perut Baginda sehingga menempel ke dinding tersebut. Ini menunjukkan Nabi tidak membenarkan kambing itu lalu di antara Baginda dan sutrah. Ini menunjukkan keharusan apabila kita solat dan sutrah itu lari, kita hendaklah mendekatkan diri kita dengan sutrah. Namun jika sutrah itu hilang atau diambil atau dialihkan dari depan kita, kita boleh dekatkan diri kita ke arah sutrah yang lain.

APABILA ORANG LALU DI DEPAN ORANG YANG SOLAT MENGGUNAKAN SUTRAH

Kalau kita solat menghadap sutrah, kemudian orang hendak lalu di depan kita. Sabda Nabi di dalam hadis Abu Sa’id Al-Khudri, “Apabila seorang di antara kamu solat dengan memasang sutrah yang membatasinya dari manusia, lalu ada seseorang yang ingin lalu di hadapannya, maka hendaklah dia menghalangnya.  Bila dia enggan, bunuhlah dia kerana sesungguhnya dia adalah syaitan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat lain disebutkan, “Sesungguhnya bersamanya adalah Qarin (bayangan syaitan).” (Riwayat Muslim)

Maksud bunuh dalam hadis ini bukan bererti ambil pisau kemudian kita menikamnya sampai mati. Maksudnya adalah berusaha bersungguh-sungguh melawannya, dan ini menggambarkan betapa besarnya hukum ini.

Abu Sa’id Al-Khudri RA. pernah menahan seorang budak yang cuba lalu di depannya yang sedang solat sebanyak beberapa kali sehingga budak itu mengadu kepada Marwan bahawa Abu Sa’id telah menyakitinya. Bagi Abu Sa’id, sedangkan kambing yang tidak berakal pun Nabi tidak membenarkan lalu di depan Baginda, apatah lagi budak ini. Sahabat Nabi lalu bertanya kepada Abu Sa’id mengapa dia berbuat demikian, maka beliau membacakan hadis Nabi di atas.

Menurut Imam Al-Syaukani rhm., sekiranya kita berusaha menahannya berulang kali dengan keras sehingga dia tiba-tiba mati, orang yang menahan tersebut tidak dikenakan hukum had (hudud) atau qisas ke atasnya, kerana dia melakukan sesuatu yang syar’i iaitu menghalang orang lalu di depannya ketika dia sedang solat.

Dari sini dapat kita fahami bahawa sutrah adalah perkara yang sangat penting. Sutrah bukan diperintahkan untuk suka-suka atau dibuat mainan. Apabila ada sutrah, maka orang faham bahawa itu adalah kawasan orang solat dan mereka tidak boleh lalu di kawasan itu. Tetapi apabila tidak ada sutrah, orang tidak tahu dan lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sedangkan ia adalah dosa yang besar.


Sumber - Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

No comments: