Selain wang, rantai, gelang dan cincin emas antara sumbangan rakyat Malaysia |
PETALING JAYA: Tidak hanya terbatas kepada wang
ringgit serta barangan keperluan asas dan perubatan, Aman Palestin turut
menerima sumbangan berbentuk barang kemas bagi membantu meringankan penderitaan
rakyat Palestin.
Pangarah Medianya, Anas Abdul Wahab berkata,
pertubuhan bukan kerajaan itu pernah mengumpul hasil sumbangan barang kemas
seperti rantai, gelang dan cincin emas.
"Terbaharu, menerusi kutipan derma amal di
lokasi tumpuan orang ramai di Jalan Tuanku Abdul Rahman, pihak Aman Palestin
turut menerima sumbangan berupa cincin dan gelang emas.
"Selalunya sumbangan sebegini banyak diterima
melalui kaunter cawangan dari seluruh negara," katanya ketika dihubungi
mStar Online di sini, Isnin.
Mengulas lanjut Anas berkata, pihaknya menerima
apa sahaja sumbangan daripada orang ramai yang mahu membantu meringankan beban
rakyat Palestin yang ditindas tentera rejim Israel.
"Rakyat Malaysia begitu prihatin dengan
penderitaan di Gaza. Justeru kami terbuka dan menerima apa sahaja sumbangan
orang ramai.
"Bagaimanapun sumbangan dalam bentuk wang
ringgit lebih mudah diuruskan untuk di salurkan ke sana," katanya.
Jelas Anas, pada Jumaat lalu Aman Palestin
menghantar bantuan misi kemanusiaan ke Gaza bernilai RM1.6 juta.
Menurutnya Aman Palestin dijangka menghantar misi
perubatan ke Gaza pada 18 Julai ini bersama lima doktor terlatih.
"InsyaAllah kita akan berada di sana selama
sepuluh hari. Turut bakal mengikut Aman Palestin ke sana ialah wakil agensi
media," katanya.
Media melaporkan sehingga kini lebih 170 nyata
terkorban manakala beratus-ratus yang lain tercedera dalam serangan Israel di
Gaza yang masuk hari ke tujuh.
Sumber - mStar Online
No comments:
Post a Comment