Pertama
sekali kita perlu tahu apa maksud tawassul. Tawassul berasal dari perkataan
Arab (wasiilah: perantara). Tawassala-yatawassalu-tawassulan. Yakni menjadikan
sesuatu sebagai perantara di dalam kita berdoa. Kita tetap meminta daripada
Allah, tetapi kita meletakkan perantara di tengah.
Di sana
ada tawassul yang masyru’ (syar’i) dan ada tawassul yang mamnu’ (dilarang).
Tawassul
yang disyariatkan
Tawassul
yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul adalah berdalilkan hadis-hadis Nabi
shallallahu’alaihiwasallam tentang bagaimana baginda mengajarkan kepada kita
cara bertawassul.
Pertama, bertawassul dengan menggunakan
nama-nama Allah Subhanahu wa Ta’ala. Firman Allah di dalam Al-Quran, “Dan Allah
memiliki nama-nama yang indah, maka berdo’alah kepada-Nya dengan nama-nama-Nya
tersebut.” (surah Al-A’raf: 180)
Contoh
berdoa dengan nama Allah adalah kita meminta dengan lafaz “Ya Ghaffar, ighfir
li”. Wahai yang Maha Pengampun, ampunilah aku. Iaitu dengan menyeru Nama Allah
terlebih dahulu; Ya Razzaq, kurniakanlah rezki kepadaku, Wahai yang Maha
Pengasih, kasihilah aku. Ya Rahman, Ya Rahim, irhamni – Wahai yang Maha
Pemurah, wahai yang Maha Pengasih, kasihanilah aku.
Sebut
Nama-nama Allah terlebih dahulu, jadikan nama-Nya sebagai perantara untuk kita
berdoa dan memohon atau meminta sesuatu daripada-Nya. Itu salah satu kaedah
tawassul yang syar’i.
Kedua, bertawassul dengan doa orang soleh
yang masih hidup. Iaitu berjumpa dengan orang-orang saleh yang amal ibadatnya
bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, para ulama dan sesiapa sahaja orang
soleh yang masih hidup dan meminta orang yang soleh itu mendoakan untuk kita.
Perkara
ini berlaku di dalam petunjuk Nabi SAW di mana para sahabat meminta agar Nabi
berdoa. Adapun setelah kewafatan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam, Umar
Al-Khatthab radhiyallaahu’anhu pergi bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib,
bapa saudara Nabi dengan Umar menyatakan bahawasanya “Dulu ketika Nabi masih
hidup, kami bertawassul dengan Nabi. Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang
yang paling mulia di kalangan kami adalah kamu, wahai Abbas. Maka berdoalah
kamu untuk kami.” (lihat Sahih Bukhari)
Peristiwa
ini terjadi ketika Madinah dilanda kemarau panjang. Umar meminta Abbas
radhiyallaahu’anhu berdoa dan Abbas radhiyallaahu’anhu pun berdoa. Tidak lama
setelah itu, Allah pun menurunkan hujan kepada mereka.
Lagi tentang
kisah doa orang yang saleh adalah peristiwa Uwais Al-Qarni.
Nabi
shallallaahu’alaihiwasallam tidak pernah berjumpa dengannya dan dia pun tidak
pernah bertemu Nabi shallallaahu’alaihiwasallam. Tetapi Nabi shallallaahu’alaihiwasallam
menceritakan tentang keberadaan dan kewujudannya. Nabi menceritakan tentang
ciri-cirinya kepada para sahabat. Nabi menyuruh kepada sahabat, sekiranya
bertemu dengan Uwais, mintalah agar dia berdoa. Maka setiap tahun pada musim haji
para sahabat mencari Uwais bin Amir Al-Qarni melalui kabilah yang datang dari
Yaman untuk mengerjakan haji.
Dari Usair
bin Jabir ia berkata: Umar bin al-Khatthab jika datang sepasukan dari Yaman
akan berkata: ‘Apakah di antara kalian ada Uwais bin Amir’? (Demikian
seterusnya) sampai datang Uwais. Beliau bertanya: Apakah engkau Uwais bin Amir?
Dia menjawab: Ya. Umar bertanya: dari Murod, kemudian ke Qoron? Dia berkata:
Ya. Umar bertanya: Apakah engkau dulu memiliki penyakit (semacam) kusta
kemudian sembuh, kecuali sebesar dirham. Dia berkata: Ya. Umar bertanya: Apakah
engkau memiliki ibu? Ia berkata: Ya. Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah
shallallaahu’alaihiwasallam bersabda: Akan datang kepada kalian Uwais bin Amir
bersama sepasukan penduduk Yaman dari Murod kemudian Qoron, dulunya dia
memiliki penyakit (semacam) kusta kemudian dia sembuh, kecuali sebesar dirham,
dia memiliki ibu yang dia berbakti kepadanya. Kalau dia bersumpah atas nama
Allah, nescaya Allah perkenankan. Jika engkau bisa meminta agar dia memohon
ampunan untukmu, lakukanlah. Maka (wahai Uwais) mohonkan ampun untukku.
Kemudian Uwais memohonkan ampunan untuk Umar. (riwayat Muslim)
Dalam
riwayat lain, Nabi memerintahkan kepada para sahabat secara umum :
“perintahkanlah dia agar beristighfar untuk kalian.”
Dari Umar
bin al-Khatthab beliau berkata, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah
shallallaahu’alaihiwasallam bersabda, Sesungguhnya sebaik-baik tabi’in adalah
seorang laki-laki yang disebut Uwais, dia memiliki ibu dan dia memiliki tanda
putih. Maka perintahkanlah dia agar beristighfar untuk kalian.” (riwayat
Muslim)
Bertawassul
dengan doa orang yang saleh yang masih hidup, itu yang diajar oleh Nabi
shallallaahu’alaihiwasallam. Dan cara bertawassul dengan orang saleh yang masih
hidup adalah melalui doanya, bukan melalui jasadnya. Syaikhul Islam Ibnu
Taimiyah menyatakan,
“Adapun
yang dimaksud tawasul dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam dalam perkataan
para sahabat radhiyallaahu’anhum adalah bertawasul dengan doa dan syafaat Nabi.
Adapun tawasul dengan doa dan syafaat sebagaimana yang dilakukan ‘Umar adalah
bertawasul dengan doa, bukan bertawasul dengan zat Rasulullah
shallallaahu’alaihiwasallam. Seandainya itu merupakan tawasul dengan zat
beliau, maka tentu bertawasul kepada Nabi shallallaahu’alaihiwasallam lebih
utama daripada dengan ‘Abbas radhiyallaahu’anhu. Ketika mereka berpaling dari
bertawasul dengan Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam, namun mereka
bertawasul dengan ‘Abbas, maka dari sini kita ketahui bahawa bertawasul dengan
Nabi shallallaahu’alaihiwasallam hanya berlaku ketika baginda masih hidup dan
terlarang setelah wafatnya baginda.”
Ketiga, bertawassul dengan amalan soleh.
Iaitu
bertawassul dengan amalan soleh yang pernah kita lakukan. Hadis yang selalu
dijadikan contoh adalah hadis tiga orang lelaki yang terperangkap di dalam gua.
Seorang berdoa kepada Allah dengan mengatakan bahawa dia telah taat kepada ibu
bapanya, seorang lagi mengatakan dia hampir berzina tetapi dia tinggalkan zina
kerana takutkan azab Allah, orang yang ketiga pula berdoa dengan menyebut
bahawa dia orang yang amanah, memegang amanah yang diberikan kepadanya dan
mengembalikan kepada pemiliknya. Maka dengan amalan saleh itu mereka berdoa
kepada Allah agar dibukakan pintu gua yang tertutup sehingga memerangkap mereka
di dalamnya.
Ketika
orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua itu terbuka sedikit, sehinggalah
cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu berbuka sehingga mereka dapat
keluar daripadanya. (lihat Sahih Bukhari)
Ini
menunjukkan keberkesanan bertawassul dengan amalan saleh, yakni menjadikan
amalan saleh sebagai perantara di dalam doa kita, kesannya itu cepat.
Mudah-mudahan, insyaAllah.
Tiga jenis
tawassul di atas adalah tawassul yang syar’i.
Tawassul
yang dilarang
Adapun
tawassul yang dilarang ada banyak. Antaranya meminta daripada berhala, pokok,
binatang, memuja makhluk, keterlaluan dalam meminta kepada makhluk sehingga
lupa kepada Allah Subhaanahu wa Ta’ala, meminta kepada makhluk dan percaya
bahawa makhluk tersebut mengabulkan permintaannya, dan tidak meminta kepada
Allah.
Begitu
juga bertawassul dengan orang yang telah mati yang telah dibincang panjang oleh
ahli ilmu. Seruan kepada orang mati, seruan kepada Nabi Muhammad
shallallaahu’alaihiwasallam sedangkan baginda telah wafat. Mereka berdalilkan
dengan peristiwa-peristiwa di mana kesemuanya adalah daripada hadis-hadis
dha’if dan tidak membawa pengertian bahawasanya Nabi
shallallaahu’alaihiwasallam bertawassul dengan Nabi-nabi yang telah wafat
sebelumnya. Tidak ada pendalilan dan penghujahannya.
Hal ini
dijelaskan oleh para ulama. Ada satu kitab berkaitan dengan tawassul;
Al-Tawassul Baina Masyru’i wal Mamnu’ (Tawassul antara yang disyariatkan dan
yang dilarang), seingat saya ditulis oleh Syaikh Abdullah bin Abdul Hamid
Al-Atsari.
Beliau
membahaskan secara terperinci penghujahan dan bantahan terhadap orang-orang
yang berhujah dengan mengatakan boleh bertawassul dengan orang yang telah mati
dengan cara menyerunya. Contohnya, menyeru “Ya Syaikh fulan bin fulan, doakan
untuk kami…” dan mereka ini mengharuskan bertawassul di tanah perkuburan orang
soleh atau pun menyeru di dalam majlis mereka dan menyeru dari tempat-tempat
lain. Itu antara cara yang mereka lakukan bertawassul dengan orang mati
termasuk dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam.
Hal-hal
seperti ini tidak diamalkan dan tidak dipraktikkan oleh sahabat-sahabat Nabi
radhiyallaahu’anhu berasaskan dan berdalilkan hadis-hadis dan riwayat-riwayat
yang sahih yang jelas daripada mereka, seperti mana perbuatan Umar bin
Al-Khatthab yang disebutkan tadi, di mana beliau tidak bertawassul kepada Nabi
sebaliknya mencari Abbas bin Abdul Muthalib. Dan beliau sendiri yang membuat
permisalan dan menyebut bahawa “dulu ketika masih ada Nabi, kami bertawassul
dengan Nabi, tetapi sekarang apabila Nabi telah tiada, kami bertawassul dengan
Abbas.”
Itu
gambaran umum dan ringkas tentang tawassul. Maka dianjurkan untuk kita
bertawassul dengan ketiga-tiga perkara yang jelas disyariatkan berdalilkan
fakta-fakta dan hadis-hadis yang sahih. Adapun selainnya adalah
terlarang. Wallaahua’lam.
Ditulis
oleh : Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
No comments:
Post a Comment