Syahid
adalah anugerah dan kemuliaan yang besar daripada Allah kepada hambaNya. Tiada
apa yang dapat menghalang orang yang Syahid dari masuk syurga seperti mana
sabda Nabi SAW, “Yang terbunuh di jalan Allah akan dihapus semua dosanya
kecuali hutang.” (Riwayat Muslim).
Sabda
Baginda lagi, “Allah menjamin bagi orang yang berperang di jalanNya; dia tidak
keluar kecuali untuk jihad di jalanKu dan dia beriman kepadaKu dan membenarkan
para rasulKu, maka Aku menjamin akan memasukkannya ke dalam syurga atau
mengembalikannya pulang ke rumahnya dengan pahala dan harta rampasan perang.”
(Bukhari dan Muslim)
Walaubagaimanapun
setiap amal datang bersama syarat-syarat dan pembatalnya. Seperti mana orang
yang solat tetapi tidak memenuhi syarat solat seperti wuduk, mengadap kiblat
dan selainnya dia tidak mendapat ganjaran orang yang solat, maka begitu halnya
dengan jihad. Seorang yang berjihad lalu mati tetapi tidak memenuhi syarat
jihad maka dia terhalang dari mendapat kemuliaan Syahid. Oleh itu Islam
menekankan ‘ilmu sebelum amal’ supaya amal yang dilakukan tidak sia-sia.
Antara
syarat utama Syahid adalah iman kepada Allah dan RasulNya dengan sebenar-benar
iman dan menjauhi segala kesyirikan yang menjadi punca terbatalnya seluruh
amal. Firman Allah, “Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya,
hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia menyekutukan apapun dalam
ibadat kepada Tuhannya.” (Al-Kahf: 110)
Seorang
yang mati berperang tetapi ketika hidupnya tidak mentauhidkan Allah (yakni
mensyirikkan Allah), percaya kepada benda-benda khurafat, bomoh, memakai
tangkal sudah tentu tidak mendapat keutamaan ini kerana syirik adalah dosa yang
dijamin tidak akan diampunkan oleh Allah kecuali dengan bertaubat dan kembali
mentauhidkan Allah.
Adapun
penghalang-penghalang dari mendapat syahid antaranya adalah seperti berikut;
Pertama, keluar
berjihad tanpa kebenaran pemerintah Muslim. Sesuatu urusan penting yang
melibatkan umat (termasuk jihad) keputusannya terletak di tangan pemerintah
Islam. Ia bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh sesiapa saja. Sabda Nabi
SAW, “Imam adalah perisai, kaum muslimin berperang di belakangnya dan
berlindung dengannya. Jika dia memerintahkan untuk bertakwa kepada Allah SWT
dan berlaku adil, maka dia mendapat pahala kerana itu. Tetapi jika dia
memerintahkan berbuat maksiat, maka dia memperoleh dosanya.” (Riwayat Muslim)
Imam
Al-Nawawi menjelaskan, “(Imam adalah perisai) seolah-olah dirinya adalah tabir
kerana dirinya menghalang musuh untuk tidak menyakiti kaum Muslimin dan
mencegah kaum Muslimin agar tidak saling menyakiti dan melindungi negeri islam.
Manusia berlindung kepadanya dan takut dengan hukumannya. Dan makna (berperang
di belakangnya) adalah kaum muslimin berperang bersamanya menghadapi kuffar,
pemberontak, Khawarij dan seluruh golongan yang berbuat kerosakan dan kezaliman.”
(Syarah Muslim)
Ibnu Hajar
menjelaskan, “Seorang Imam melindungi kaum Muslimin dari musuh dan mencegah
terjadinya penganiayaan sesama kaum Muslimin. Dan yang dimaksud dengan imam
adalah mereka yang menangani urusan kaum muslimin.” (Fathulbari)
Ibnu
Taimiyah berkata, “Jihad hanya diseru oleh pemerintah yang mengurus urusan kaum
Muslimin.” (Minhaj Al-Sunnah). Oleh itu, pemerintahlah yang layak menyeru
kepada jihad, bukan ketua mana-mana kumpulan yang sebarangan, atau mana-mana
individu.
Kedua: Memerangi
orang yang tidak boleh diperangi. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa
membunuh seorang mu’ahad (orang kafir yang ada perjanjian), maka dia tidak akan
mencium bau syurga dan sesungguhnya baunya dapat tercium dari jarak perjalanan
40 tahun.” ( Al-Bukhari)
Ketiga:
Berjihad di bawah panji buta. Sabda Nabi: “Barangsiapa yang berperang dibawah
panji yang tidak jelas, marah kerana (taksub pada) kelompok atau mengajak
kepada kelompok atau menolong kerana kelompok lalu terbunuh maka dia terbunuh
seperti terbunuhnya orang jahiliah. Siapa yang memberontak dari umatku,
membunuh yang baik dan yang fajir dan tidak mempedulikan kemukminannya serta
tidak menunaikan janjinya kepada orang yang dijanjikan maka dia bukan dariku
dan aku berlepas diri darinya.” (Riwayat Muslim)
Keempat:
Berperang dengan tujuan mati syahid. Syaikh Muhammad Bazmul berkata: “Adalah
tidak benar bagi orang yang keluar berjihad dengan tujuan mendapatkan syahid
(keluar berjihad untuk mati). Sebaliknya hendaklah dia keluar dengan tujuan
untuk meninggikan kalimah Allah (yakni untuk menang) dan jika dia mendapat
syahid itu adalah kemuliaan dari Allah untuknya. Dan jika dia tidak mendapat
syahid, dia pulang dengan pahala dan harta rampasan. Sebahagian orang ingin
membunuh dirinya tetapi mereka tahu bahawa membunuh diri tidak dibenarkan. Maka
dia keluar berperang dan dia mahu dibunuh. Dia menyangka dengan cara ini dia
akan mendapat ganjaran syahid. Renungkan hadis Nabi SAW:
“Allah
menjamin bagi orang yang keluar di jalanNya; tidaklah dia keluar kecuali kerana
ingin berjihad di jalanKu, dan dia beriman kepadaKu dan membenarkan para
rasulKu, maka Aku menjamin akan memasukkannya ke dalam syurga atau
mengembalikannya ke rumahnya dengan membawa kemenangan berupa pahala dan harta
rampasan perang.” (Al-Bukhari dan Muslim)
Jika
keluar berperang dengan niat ingin mati dan menjadi syahid itu disyariatkan,
mengapa tidak Rasulullah SAW melakukannya? Mengapa Baginda dan para sahabat
memakai baju besi? Mengapa kita diperintahkan untuk membuat persiapan? Dan di
manakah niat jihad iaitu untuk meninggikan kalimah Allah? Jika semua tentera
Islam pergi berjihad untuk mati, maka Islam akan kalah dan kalimah Allah tidak
akan ditinggikan. Maka umat Islam harus memerhatikan hal ini kerana ia berkait
dengan masalah hati, dan ini adalah satu cara bagaimana Syaitan boleh
merosakkan amal kebaikan seorang Muslim iaitu dengan merosakkan niatnya.
Kelima:
Berperang tanpa izin orang tua. Ini berdasarkan hadis seseorang lelaki bertemu
Rasulullah SAW meminta izin ikut berjihad. Baginda bertanya: “Adakah kedua
orang tuamu masih hidup?.” Dia menjawab: Ya. Baginda bersabda: “Jika begitu,
berjihadlah untuk kedua orang tuamu.” (Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain
ada tambahan, Baginda bersabda: “Pulanglah dan mintalah izin kepada mereka.
Jika mereka izinkan maka berjihadlah. Jika tidak, berbaktilah kepada mereka
berdua.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
LARANGAN
MENGATAKAN SI FULAN SYAHID
Adapun
menghukum secara khusus bahawa seseorang itu syahid, ini tidak dibolehkan
kecuali dengan persaksian Nabi SAW (melalui wahyu). Imam Al-Bukhari meletakkan
satu bab dalam Sahihnya: “Bab Tidak Boleh Mengatakan Si Fulan Syahid”. Ini
kerana antara syarat syahid adalah berperang untuk meninggikan kalimat Allah
yang tinggi dan ini adalah urusan niat yang tidak ada jalan untuk
mengetahuinya. Oleh itu Nabi SAW bersabda, “Perumpamaan seorang mujahid di
jalan Allah, dan Allah lebih tahu siapa yang berjihad di jalanNya.” (Bukhari)
Namun
orang yang secara zahirnya baik, mentauhidkan Allah ketika hidupnya, kita
mendoakan dia syahid. Kita tidak menghukumnya syahid dan kita tidak berburuk
sangka kepadanya. Kita memperlakukannya di dunia dengan hukum-hukum syahid jika
dia terbunuh dalam jihad fi sabilillah. Dia dikubur dengan darah di bajunya
tanpa mensolatinya. Dan untuk syuhada yang lain, dimandikan, dikafani dan
disolati.
Ditulis oleh : Ustaz
Fathul Bari Mat Jahya
No comments:
Post a Comment