Betapa penting kedudukan ibadah solat
di dalam Islam. Orang yang melaksanakan solat dengan sebaik-baiknya akan
memperoleh pahala yang besar, keutamaan dan kemuliaan. Ganjaran pahala dari
ibadah solat berbeza-beza bergantung pada kadar dekat atau jauhnya seseorang
daripada cara pelaksanaan solat Nabi SAW.
Ini sebagaimana sabda Nabi SAW,
“Solatlah kalian seperti mana kalian melihat aku solat.” (Sahih. Bukhari dan
Ahmad).
Juga sabda Baginda SAW di dalam hadis
yang lain, “Sesungguhnya seorang hamba mengerjakan solat yang diwajibkan
kepadanya, ada yang hanya mendapat ganjaran satu per sepuluhnya, ada yang
mendapat satu persembilannya, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu
perlima, satu perempat, satu pertiga, juga ada yang mendapat ganjaran
setengahnya.” (Sahih. Abu Daud)
Kita tidak mungkin dapat melaksanakan
ibadah solat dengan benar kecuali kita mempelajari tatacara ibadah solat Nabi
secara terperinci berdasarkan himpunan hadis-hadis sahih. Dengan demikian kita
berharap moga-moga solat kita dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar
serta memperoleh ganjaran pahala daripada solat itu.
PERINTAH NABI AGAR SOLAT MENGHADAP
SUTRAH
Sabda Nabi SAW, “Janganlah engkau
solat kecuali menghadap sutrah.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW
bersabda, “Jika seseorang dari kalian melakukan solat menghadap sutrah, maka
hendaklah dia dekat kepadanya, jangan sampai syaitan membatalkan solatnya.”
(Sahih. Abu Dawud)
Sutrah adalah benda yang dijadikan
penghadang atau penghalang seperti tembok, tiang, kerusi, dinding atau
sebagainya di hadapan orang yang hendak solat. Seseorang mesti memastikan
adanya penghadang di hadapan apabila dia berdiri untuk solat. Ada beberapa
perkara penting yang dibicarakan tentang sutrah. Di antaranya;
1. Jarak antara sutrah dan tempat
sujud lebih kurang cukup untuk dilalui oleh seekor anak kambing.
Maknanya jarak orang yang solat
dengan sutrah adalah dekat. Ini disebutkan di dalam hadis dari Sahl bin Sa’ad
Al-Sa’idi radhiallahu’anhu, dia berkata: “Jarak antara tempat sujud Rasulullah
SAW dengan dinding kira-kira cukup untuk dilewati seekor anak kambing.”
(Bukhari dan Muslim).
Imam Al-Baghawi rhm. mengatakan
bahawa para ulama berpendapat sunnahnya berdiri menghampiri sutrah, di mana
jarak antara dia dengan sutrah seukuran dia boleh melakukan sujud. Begitu juga
jarak di antara dua saff. Dan telah disebutkan hadis tentang perintah untuk
mendekat ke arah sutrah. Lalu beliau membawakan hadis di mana Nabi SAW
bersabda,
“Janganlah engkau solat tanpa
memasang sutrah. Dan janganlah engkau membiarkan seseorang melintas di
hadapanmu (ketika solat). Jika dia melintas maka cegahlah, kerana sesungguhnya
bersamanya ada syaitan.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)
Baginda SAW juga bersabda, “Apabila
salah seorang di antara kalian solat dengan memasang sutrah di depannya,
hendaklah dia mendekat ke arahnya, sehingga syaitan tidak dapat memutuskan
solatnya.” (Sahih. Riwayat Abu Daud)
Yang dimaksudkan dengan ‘sehingga
syaitan tidak dapat memutuskan solatnya’ adalah agar syaitan tidak
berkesempatan singgah dan hadir dalam solatnya dan menanamkan perasaan waswas
serta mempengaruhi solatnya. Dapat diambil faedah bahawa sutrah akan menghalang
pengaruh syaitan terhadap seseorang yang sedang solat.
2. Sutrah bukan diukur dari sudut
lebarnya, tetapi dari sudut tinggi.
Ini berdalilkan hadis riwayat Bukhari
dan Muslim, “Apabila Baginda solat di padang pasir dan tidak ada suatu pun yang
boleh dijadikan sutrah, Baginda memacakkan tombak di hadapannya. Lalu Baginda
solat menghadap tombak tersebut dan para sahabat bermakmum di belakang
Baginda.”
Apabila Nabi pacakkan satu tombak,
ini menunjukkan bahawa sutrah adalah benda yang tinggi, tidak disyaratkan lebar
dan besar. Adapun hadis di mana Nabi menggariskan satu garisan dan
menjadikannya sutrah, sehingga kebanyakan masjid membuat garisan antaranya
untuk dijadikan sutrah, namun sebenarnya hadis itu adalah hadis dha’if jiddan
(hadis yang lemah bersangatan dan tidak boleh diterima). Hal ini dibahaskan
oleh Imam Al-Syaukani di dalam Nailul Authar, juga Ibnu Hajar Al-Atsqalani di dalam
Bulughul Maram.
Adapun dari sudut ketinggian; tinggi
sutrah hendaklah setinggi pelana unta, iaitu melebihi sehasta. Ini berdasarkan
sabda Nabi SAW, “Apabila salah seorang kalian (ketika hendak solat) telah
meletakkan sutrah di depannya setinggi pelana tunggangan maka solatlah, dan dia
tidak perlu menghiraukan siapa pun yang melintas di belakangnya.” (Riwayat
Muslim)
Berdasarkan hadis tombak dapat kita
fahami bahawa saiz sutrah diukur berdasarkan ketinggian. Kalau kita gunakan
tembok tinggi sejengkal, itu tidak dinamakan sutrah.
3. Sutrah boleh terdiri daripada
banyak benda.
Manusia juga boleh menjadi sutrah
kalau dia duduk diam. Selain dari itu benda-benda seperti beg, kerusi, dinding
dan hal-hal yang seumpama dengannya boleh dijadikan sutrah selama mana memenuhi
syarat ketinggian. Bagaimanapun, Nabi paling suka menjadikan dinding sebagai
sutrah. Harus diingat bahawa sutrah mesti ada di hadapan orang yang solat.
KELEBIHAN MENGGUNAKAN SUTRAH
1. Ia adalah sunnah dan perintah Nabi
sallallahu ‘alaihi wasallam.
2. Sutrah memastikan ruang dan tempat
untuk kita solat, supaya tidak diganggu oleh orang lain. Ada hadis larangan
lalu di depan orang yang solat, di mana Nabi SAW bersabda, “Seandainya orang
yang lalu di depan orang yang solat mengetahui besarnya dosa yang
ditanggungnya, nescaya ia akan memilih berhenti selama 40, itu lebih baik
baginya dari lalu di depan orang yang shalat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud 40 itu tidak dijelaskan di
dalam hadis. Perawi hadis ini tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan adalah
40 hari, 40 bulan, atau 40 tahun. Dalam musnad Al-Bazzar mengatakan 40 tahun.
Imam Al-Syaukani di dalam Nailul Authar membahaskan bahawa yang diertikan
dengan 40 itu menggambarkan betapa besarnya dosa. Ini menunjukkan bahawa perintah
menggunakan sutrah ini bukan perkara main-main atau suka-suka.
APABILA SUTRAH BERALIH
Apabila seseorang itu solat dengan
menghadap sutrah, dan kemudian sutrahnya lari. Contohnya dia solat di belakang
orang dan orang itu kemudian bangkit dan pergi ke tempat lain. Kalau jarak
orang yang solat dengan dinding di depannya dekat, dia boleh berjalan ke depan
mendekati dinding di depan.
Dalilnya adalah hadis sahih riwayat
Al-Hakim di mana pernah ada seekor anak kambing hendak lalu di hadapan Nabi ketika
Nabi sedang solat, Baginda merapatkan dada dan perut Baginda sehingga menempel
ke dinding tersebut. Ini menunjukkan Nabi tidak membenarkan kambing itu lalu di
antara Baginda dan sutrah. Ini menunjukkan keharusan apabila kita solat dan
sutrah itu lari, kita hendaklah mendekatkan diri kita dengan sutrah. Namun jika
sutrah itu hilang atau diambil atau dialihkan dari depan kita, kita boleh
dekatkan diri kita ke arah sutrah yang lain.
APABILA ORANG LALU DI DEPAN ORANG
YANG SOLAT MENGGUNAKAN SUTRAH
Kalau kita solat menghadap sutrah,
kemudian orang hendak lalu di depan kita. Sabda Nabi di dalam hadis Abu Sa’id
Al-Khudri, “Apabila seorang di antara kamu solat dengan memasang sutrah yang
membatasinya dari manusia, lalu ada seseorang yang ingin lalu di hadapannya,
maka hendaklah dia menghalangnya. Bila dia enggan, bunuhlah dia kerana
sesungguhnya dia adalah syaitan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat lain disebutkan,
“Sesungguhnya bersamanya adalah Qarin (bayangan syaitan).” (Riwayat Muslim)
Maksud bunuh dalam hadis ini bukan
bererti ambil pisau kemudian kita menikamnya sampai mati. Maksudnya adalah
berusaha bersungguh-sungguh melawannya, dan ini menggambarkan betapa besarnya
hukum ini.
Abu Sa’id Al-Khudri RA. pernah
menahan seorang budak yang cuba lalu di depannya yang sedang solat sebanyak
beberapa kali sehingga budak itu mengadu kepada Marwan bahawa Abu Sa’id telah
menyakitinya. Bagi Abu Sa’id, sedangkan kambing yang tidak berakal pun Nabi
tidak membenarkan lalu di depan Baginda, apatah lagi budak ini. Sahabat Nabi
lalu bertanya kepada Abu Sa’id mengapa dia berbuat demikian, maka beliau
membacakan hadis Nabi di atas.
Menurut Imam Al-Syaukani rhm.,
sekiranya kita berusaha menahannya berulang kali dengan keras sehingga dia
tiba-tiba mati, orang yang menahan tersebut tidak dikenakan hukum had (hudud)
atau qisas ke atasnya, kerana dia melakukan sesuatu yang syar’i iaitu
menghalang orang lalu di depannya ketika dia sedang solat.
Dari sini dapat kita fahami bahawa
sutrah adalah perkara yang sangat penting. Sutrah bukan diperintahkan untuk
suka-suka atau dibuat mainan. Apabila ada sutrah, maka orang faham bahawa itu
adalah kawasan orang solat dan mereka tidak boleh lalu di kawasan itu. Tetapi
apabila tidak ada sutrah, orang tidak tahu dan lalu lalang di hadapan orang
yang sedang solat sedangkan ia adalah dosa yang besar.
Sumber - Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
No comments:
Post a Comment