Ini ada satu cerita, Iblis terkutuk
berdebat dengan Firaun durjana. Tiada yang baik antara keduanya, namun ada yang
teruk macam mereka.
Kononnya, pada suatu malam, Iblis
pergi ke istana Firaun ketika ‘sahabatnya’ itu hendak tidur. Tiba sahaja di
hadapan kamar Firaun, Iblis pun mengetuk pintu lalu memanggil Firaun keluar.
Firaun berang tidak terkira kerana
ada yang berani mengganggunya ketika dia mahu melelapkan mata. “Siapa yang
berani ketuk pintu bilik tidur aku?,” tanya Firaun yang sombong itu dengan
suara bengis.
“Hai! Bukankah engkau sentiasa dakwa
diri engkau tuhan, tapi aku ada di sebalik pintu depan engkau pun engkau sudah
tidak tahu. Tapi tidak apalah. Sebenarnya aku Iblis. Keluarlah sekarang kerana
aku mahu berbincang dengan engkau,” jawab Iblis selamba.
Dia menyeringai, puas hati kerana
awal-awal lagi dia sudah berjaya memperlekehkan Firaun, seorang raja negara
besar yang digeruni ramai.
Maka, setelah Firaun membuka pintu
dan melihat Iblis tercegat bercekak pinggang di hadapannya, dia jadi bertambah
marah.
“Engkau memang makhluk tidak berguna.
Dengan makhluk lain, bahkan Nabi Adam, engkau bersikap biadab. Dengan aku pun
engkau mahu tunjuk keras kepala?,” sergah Firaun.
Iblis senyum. “Anggapan engkau salah.
Sebenarnya engkau lebih teruk daripada aku,” jelas Iblis yang tidak terkesan
pun dengan kemarahan Firaun.
“Kenapa engkau kata begitu?,” tanya
Firaun, api kemarahannya semakin membara.
“Cuba engkau fikir. Aku lebih tua,
lebih cerdas dan lebih kuat daripada engkau. Tapi aku tidak seberani engkau.
Aku hanya tidak mahu tunduk pada Nabi Adam apabila diperintah ALLAH kerana aku
lebih hebat.
“Aku dijadikan daripada api,
sedangkan Adam (manusia) dijadikan daripada tanah. Mana boleh aku tunduk
padanya! Bagaimanapun, aku tidak pernah tolak keesaan ALLAH.
“Tetapi engkau; walaupun hanya
manusia biasa, tiada kelebihan apa pun, namun engkau berani mengaku kononnya
engkau tuhan,” kata Iblis.
Firaun sedar kelemahannya. Dia
teringat betapa dia cuba menghalang ancaman terhadap diri dan kekuasaannya
dengan mengeluarkan perintah supaya semua bayi lelaki dibunuh, tetapi dengan
kuasa ALLAH, Nabi Musa AS membesar di istana sebagai anak angkatnya sendiri dan
akhirnya menjadi apa yang dianggap sebagai musuh yang akhirnya menyebabkan
seluruh tentera serta dirinya tenggelam di lautan.
“Benar apa yang kamu katakan. Kalau
begitu aku mahu bertaubatlah,” kata Firaun kepada Iblis.
Iblis, yang sentiasa penuh dengan
tipu-helah itu menjawab: “Jangan. Penduduk Mesir sudah menerima engkau sebagai
tuhan. Bila kamu cabut taraf ketuhanan daripada dirimu itu, mereka akan
berpaling daripadamu, akan memusuhimu dan memporak-perandakan kekuasaanmu.
Akhirnya kamu akan menjadi orang yang hina-dina.”
“Benar juga kata-kata engkau. Tetapi,
aku mahu tahu adakah di dunia ini ada makhluk lain yang jahat selain aku?,”
tanya Firaun.
“Ada,” kata Iblis. “Orang yang tidak
sudi menerima permohonan maaf,” kata Iblis, sebelum beredar.
ALLAH yang Maha Berkuasa pun sentiasa
mengalu-alukan hambaNya memohon ampun daripadaNya dan ALLAH bersedia
mengampunkan hambaNya walaupun dosa mereka banyak.
Rasulullah SAW mengajarkannya kepada
isteri Baginda, Aisyah, ketika Aisyah bertanya kepada Baginda: “Wahai
Rasulullah, andainya aku berjumpa lailatul qadar, apa yang perlu aku katakan?.”
Baginda bersabda: “Katakanlah: Ya
ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Engkau cintakan kemaafan, maka
maafkanlah kami.”
ALLAH berfirman (Sohih Muslim) yang
maksud: Sesiapa yang mendekatiKu sejengkal Aku akan mendekatinya sehasta.
Sesiapa yang menghampiriKu sehasta aku akan menghampirinya sepemeluk dan
sesiapa yang datang kepadaKu dalam keadaan berjalan Aku akan pergi kepada dalam
keadaan bersegera.
Dan sesiapa menemuiKu (selepas mati)
dengan dosanya sebesar bumi tetapi tidak syirik padaKu dengan sesuatu, nescaya
Aku akan menemuinya dalam keadaan mengampuni dosa sebesar bumi itu.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment