Soalan: Saya tidak pasti tentang tawassul.
Bertawassul ini boleh atau tidak? Kalau boleh, bagaimana caranya?
Jawapan:
Pertama sekali kita perlu tahu apa maksud
tawassul. Tawassul berasal dari perkataan Arab (wasiilah: perantara).
Tawassala-yatawassalu-tawassulan. Yakni menjadikan sesuatu sebagai perantara di
dalam kita berdoa. Kita tetap meminta daripada Allah, tetapi kita meletakkan
perantara di tengah.
Di sana ada tawassul yang masyru’ (syar’i) dan ada
tawassul yang mamnu’ (dilarang).
Tawassul
yang disyariatkan
Tawassul yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul
adalah berdalilkan hadis-hadis Nabi shallallahu’alaihiwasallam tentang
bagaimana baginda mengajarkan kepada kita cara bertawassul.
Pertama, bertawassul dengan
menggunakan nama-nama Allah Subhanahu wa Ta’ala. Firman Allah di dalam
Al-Quran, “Dan Allah memiliki nama-nama yang indah, maka berdo’alah kepada-Nya
dengan nama-nama-Nya tersebut.” (surah Al-A’raf: 180)
Contoh berdoa dengan nama Allah adalah kita
meminta dengan lafaz “Ya Ghaffar, ighfir li”. Wahai yang Maha Pengampun,
ampunilah aku. Iaitu dengan menyeru Nama Allah terlebih dahulu; Ya Razzaq,
kurniakanlah rezki kepadaku, Wahai yang Maha Pengasih, kasihilah aku. Ya
Rahman, Ya Rahim, irhamni – Wahai yang Maha Pemurah, wahai yang Maha Pengasih,
kasihanilah aku.
Sebut Nama-nama Allah terlebih dahulu, jadikan
nama-Nya sebagai perantara untuk kita berdoa dan memohon atau meminta sesuatu
daripada-Nya. Itu salah satu kaedah tawassul yang syar’i.
Kedua, bertawassul dengan
doa orang soleh yang masih hidup. Iaitu berjumpa dengan orang-orang saleh yang
amal ibadatnya bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, para ulama dan sesiapa
sahaja orang soleh yang masih hidup dan meminta orang yang soleh itu mendoakan
untuk kita.
Perkara ini berlaku di dalam petunjuk Nabi SAW di
mana para sahabat meminta agar Nabi berdoa. Adapun setelah kewafatan Nabi
shallallaahu’alaihiwasallam, Umar Al-Khatthab radhiyallaahu’anhu pergi bertemu
dengan Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi dengan Umar menyatakan
bahawasanya “Dulu ketika Nabi masih hidup, kami bertawassul dengan Nabi.
Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang yang paling mulia di kalangan kami
adalah kamu, wahai Abbas. Maka berdoalah kamu untuk kami.” (lihat Sahih
Bukhari)
Peristiwa ini terjadi ketika Madinah dilanda
kemarau panjang. Umar meminta Abbas radhiyallaahu’anhu berdoa dan Abbas
radhiyallaahu’anhu pun berdoa. Tidak lama setelah itu, Allah pun menurunkan
hujan kepada mereka.
Lagi tentang kisah doa orang yang saleh adalah
peristiwa Uwais Al-Qarni.
Nabi shallallaahu’alaihiwasallam tidak pernah
berjumpa dengannya dan dia pun tidak pernah bertemu Nabi
shallallaahu’alaihiwasallam.
Tetapi Nabi shallallaahu’alaihiwasallam
menceritakan tentang keberadaan dan kewujudannya.
Nabi menceritakan tentang ciri-cirinya kepada para
sahabat. Nabi menyuruh kepada sahabat, sekiranya bertemu dengan Uwais, mintalah
agar dia berdoa. Maka setiap tahun pada musim haji para sahabat mencari Uwais
bin Amir Al-Qarni melalui kabilah yang datang dari Yaman untuk mengerjakan
haji.
Dari Usair bin Jabir ia berkata: Umar bin
al-Khatthab jika datang sepasukan dari Yaman akan berkata: ‘Apakah di antara
kalian ada Uwais bin Amir’? (Demikian seterusnya) sampai datang Uwais. Beliau
bertanya: Apakah engkau Uwais bin Amir? Dia menjawab: Ya. Umar bertanya: dari
Murod, kemudian ke Qoron? Dia berkata: Ya. Umar bertanya: Apakah engkau dulu
memiliki penyakit (semacam) kusta kemudian sembuh, kecuali sebesar dirham. Dia
berkata: Ya. Umar bertanya: Apakah engkau memiliki ibu? Ia berkata: Ya. Umar
berkata: Aku mendengar Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam bersabda: Akan
datang kepada kalian Uwais bin Amir bersama sepasukan penduduk Yaman dari Murod
kemudian Qoron, dulunya dia memiliki penyakit (semacam) kusta kemudian dia
sembuh, kecuali sebesar dirham, dia memiliki ibu yang dia berbakti kepadanya.
Kalau dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah perkenankan. Jika engkau
bisa meminta agar dia memohon ampunan untukmu, lakukanlah. Maka (wahai Uwais)
mohonkan ampun untukku. Kemudian Uwais memohonkan ampunan untuk Umar. (riwayat
Muslim)
Dalam riwayat lain, Nabi memerintahkan kepada para
sahabat secara umum : “perintahkanlah dia agar beristighfar untuk kalian.”
Dari Umar bin al-Khatthab beliau berkata,
“Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam bersabda,
Sesungguhnya sebaik-baik tabi’in adalah seorang laki-laki yang disebut Uwais,
dia memiliki ibu dan dia memiliki tanda putih. Maka perintahkanlah dia agar
beristighfar untuk kalian.” (riwayat Muslim)
Bertawassul dengan doa orang yang saleh yang masih
hidup, itu yang diajar oleh Nabi shallallaahu’alaihiwasallam. Dan cara
bertawassul dengan orang saleh yang masih hidup adalah melalui doanya, bukan
melalui jasadnya. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menyatakan,
“Adapun yang dimaksud tawasul dengan Nabi
shallallaahu’alaihiwasallam dalam perkataan para sahabat radhiyallaahu’anhum
adalah bertawasul dengan doa dan syafaat Nabi. Adapun tawasul dengan doa dan
syafaat sebagaimana yang dilakukan ‘Umar adalah bertawasul dengan doa, bukan
bertawasul dengan zat Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam. Seandainya itu
merupakan tawasul dengan zat beliau, maka tentu bertawasul kepada Nabi
shallallaahu’alaihiwasallam lebih utama daripada dengan ‘Abbas
radhiyallaahu’anhu. Ketika mereka berpaling dari bertawasul dengan Rasulullah
shallallaahu’alaihiwasallam, namun mereka bertawasul dengan ‘Abbas, maka dari
sini kita ketahui bahawa bertawasul dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam
hanya berlaku ketika baginda masih hidup dan terlarang setelah wafatnya
baginda.”
Ketiga, bertawassul dengan
amalan soleh.
Iaitu bertawassul dengan amalan soleh yang pernah
kita lakukan. Hadis yang selalu dijadikan contoh adalah hadis tiga orang lelaki
yang terperangkap di dalam gua. Seorang berdoa kepada Allah dengan mengatakan
bahawa dia telah taat kepada ibu bapanya, seorang lagi mengatakan dia hampir
berzina tetapi dia tinggalkan zina kerana takutkan azab Allah, orang yang
ketiga pula berdoa dengan menyebut bahawa dia orang yang amanah, memegang
amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada pemiliknya. Maka
dengan amalan saleh itu mereka berdoa kepada Allah agar dibukakan pintu gua
yang tertutup sehingga memerangkap mereka di dalamnya.
Ketika orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua
itu terbuka sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu
berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya. (lihat Sahih Bukhari)
Ini menunjukkan keberkesanan bertawassul dengan
amalan saleh, yakni menjadikan amalan saleh sebagai perantara di dalam doa
kita, kesannya itu cepat. Mudah-mudahan, insyaAllah.
Tiga jenis tawassul di atas adalah tawassul yang
syar’i.
Tawassul
yang dilarang
Adapun tawassul yang dilarang ada banyak.
Antaranya meminta daripada berhala, pokok, binatang, memuja makhluk,
keterlaluan dalam meminta kepada makhluk sehingga lupa kepada Allah Subhaanahu
wa Ta’ala, meminta kepada makhluk dan percaya bahawa makhluk tersebut
mengabulkan permintaannya, dan tidak meminta kepada Allah.
Begitu juga bertawassul dengan orang yang telah
mati yang telah dibincang panjang oleh ahli ilmu. Seruan kepada orang mati,
seruan kepada Nabi Muhammad shallallaahu’alaihiwasallam sedangkan baginda telah
wafat. Mereka berdalilkan dengan peristiwa-peristiwa di mana kesemuanya adalah
daripada hadis-hadis dha’if dan tidak membawa pengertian bahawasanya Nabi shallallaahu’alaihiwasallam bertawassul
dengan Nabi-nabi yang telah wafat sebelumnya. Tidak ada pendalilan dan
penghujahannya.
Hal ini dijelaskan oleh para ulama. Ada satu kitab
berkaitan dengan tawassul; Al-Tawassul Baina Masyru’i wal Mamnu’ (Tawassul
antara yang disyariatkan dan yang dilarang), seingat saya ditulis oleh Syaikh
Abdullah bin Abdul Hamid Al-Atsari.
Beliau membahaskan secara terperinci penghujahan
dan bantahan terhadap orang-orang yang berhujah dengan mengatakan boleh
bertawassul dengan orang yang telah mati dengan cara menyerunya. Contohnya,
menyeru “Ya Syaikh fulan bin fulan, doakan untuk kami…” dan mereka ini
mengharuskan bertawassul di tanah perkuburan orang soleh atau pun menyeru di
dalam majlis mereka dan menyeru dari tempat-tempat lain. Itu antara cara yang
mereka lakukan bertawassul dengan orang mati termasuk dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam.
Hal-hal seperti ini tidak diamalkan dan tidak
dipraktikkan oleh sahabat-sahabat Nabi radhiyallaahu’anhu berasaskan dan
berdalilkan hadis-hadis dan riwayat-riwayat yang sahih yang jelas daripada
mereka, seperti mana perbuatan Umar bin Al-Khatthab yang disebutkan tadi, di
mana beliau tidak bertawassul kepada Nabi sebaliknya mencari Abbas bin Abdul
Muthalib. Dan beliau sendiri yang membuat permisalan dan menyebut bahawa “dulu
ketika masih ada Nabi, kami bertawassul dengan Nabi, tetapi sekarang apabila
Nabi telah tiada, kami bertawassul dengan Abbas.”
Itu gambaran umum dan ringkas tentang tawassul.
Maka dianjurkan untuk kita bertawassul dengan ketiga-tiga perkara yang jelas
disyariatkan berdalilkan fakta-fakta dan hadis-hadis yang sahih. Adapun
selainnya adalah terlarang. Wallaahua’lam.
Ditulis
oleh : Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
No comments:
Post a Comment